Korea Utara-Selatan dan PBB mula bincang pelucutan senjata di sempadan

Korea Utara-Selatan dan PBB mula bincang pelucutan senjata di sempadan

Mesyuarat akan menilai kemajuan langkah penghapusan periuk api dan pos pengawal, pelarasan peralatan pengawasan dan pengesahan bersaling usaha pelucutan senjata.

SEOUL:
Korea Utara dan Selatan serta Pemerintah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat pertama hari ini bagi membincangkan langkah pelucutan senjata di sempadan 2 negara itu, kata Kementerian Pertahanan Korea Selatan.

Bulan lepas, pemimpin kedua-dua negara menyetujui satu pakatan ketenteraan yang merangkumi pemberhentian eksesais tentera, zon larangan terbang berhampiran sempadan dan penghapusan secara beransur-ansur periuk api dan pos pengawal di Zon Bebas Tentera (DMZ).

Mesyuarat hari ini akan menilai kemajuan langkah penghapusan periuk api dan pos pengawal, pelarasan peralatan pengawasan dan cara-cara bagi membuat pengesahan bersaling usaha pelucutan senjata, lapor agensi berita Yonhap yang memetik sumber kementerian.

Mesyuarat tertutup itu akan diadakan di perkampungan Panmunjom di sempadan dan dihadiri oleh masing-masing 3 wakil dari kedua-dua belah pihak, kata kementerian dalam satu kenyataan.

Semalam kedua-dua negara itu bersetuju untuk mula menghubungkan semula landasan kereta api dan jalan raya, yang merupakan satu lagi langkah ke arah pemulihan hubungan, walaupun Amerika Syarikat menyuarakan kebimbangannya tentang kemungkinan kepantasan proses pemulihan hubungan itu boleh melemahkan usaha menekan Korea Utara supaya melupuskan senjata nuklearnya.

Secara teknikalnya, Korea Utara dan Korea Selatan, yang lebih kaya dan demokratik, masih berperang kerana Perang Korea 1950-53 berakhir dengan genjatan senjata bukannya perjanjian damai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.