Lebihkan air kosong kalau nak kurangkan lawatan doktor

Lebihkan air kosong kalau nak kurangkan lawatan doktor

Penambilan air kosong banyak manfaatnya termasuk untuk kulit, membuang toksin buah pinggang, otot yang sihat dan banyak lagi.

Ia bukan lagi satu misteri mengenai manfaat dan kebaikan air kosong kepada kita. Pada harga yang lebih murah berbanding air bergula yang lain, air kosong seharusnya menjadi minuman utama bagi setiap manusia, malah semua kehidupan.

Anda pasti mahu tahu sebab di sebalik menjadikan air kosong sebagai minuman utama anda. Baca selanjutnya.

1. Membantu mengekalkan keseimbangan cecair di dalam badan

Kira-kira 60% daripada badan manusia terdiri daripada air. Ia memainkan pelbagai peranan termasuk membantu penghadaman, penyerapan nutrisi, peredaran darah, penghasilan air liur dan mengawal suhu badan.

Apabila badan anda mengalami kekurangan air, otak akan menghantar isyarat ‘haus’. Jika terlebih, air tersebut dibuang melalui air kencing, peluh dan pernafasan.

Tanpa air yang mencukupi, fungsi badan anda secara amnya boleh terganggu. Ini membuatkan anda kurang cergas dan aktif serta tidak boleh memaksimakan tenaga sepanjang hari.

2. Mengawal kalori

Tahukah anda berapa kalori bagi segelas air kosong? Jawapannya adalah kosong. Sebanyak mana pun air yang anda minum, kalori yang diambil tetap kosong.

Apa yang menarik ialah apabila anda minum banyak air, ia akan memberikan rasa kenyang tanpa perlu menambah pengambilan kalori. Bahkan ia membantu anda mengurangkan pengambilan kalori daripada sumber makanan yang lain.

3. Memberikan otot yang sihat

Sel-sel otot yang tidak mengandungi kandungan air yang mencukupi akan mengecut. Ia membuatkan otot lebih cepat letih seterusnya mengganggu fungsi serta prestasinya.

Oleh sebab itu, anda perlu mengambil air yang cukup semasa melakukan aktiviti fizikal bagi memastikan kecergasan otot kekal pada tahap maksimum.

4. Kulit anda kelihatan lebih segar

Kulit anda mengandungi banyak air. Ia memberikan kesegaran dan membuatkan kulit anda kelihatan muda. Namun, jangan harapkan segala kedutan pada kulit anda akan hilang serta merta selepas meminum 5 botol air. Anda juga boleh gunakan pelembap untuk mengekalkan air pada kulit.

5. Membantu buah pinggang membuang toksin

Bahan toksin dibuang daripada badan melalui beberapa cara. Antaranya adalah melalui air kencing. Cecair badan yang mencukupi membantu buah pinggang membuang toksin secara lebih efisyen.

Apabila air kencing anda berwarna cerah dan tidak berbau, ia menandakan anda mendapat air yang cukup. Sebaliknya jika kurang, air kencing akan berwarna lebih gelap dan berbau. Pengambilan air yang kurang juga mendedahkan anda kepada pembentukan batu karang di dalam buah pinggang.

Jadikan air kosong sebagai tabiat anda hari ini!

Artikel ini diterbitkan oleh Hello Health Group dan pihaknya tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.