
“Kita harus akui ini ‘kampung halaman’ Tan Sri Isa Samad,” kata Eddin Syazlee Shith, Ahli Parlimen Kuala Pilah yang merupakan sebahagian daripada kepimpinan PPBM, memberitahu FMT, dengan merujuk kepada bekas menteri besar negeri itu yang turut bertanding sebagai calon Bebas.
Eddin berkata ramai ahli Umno masih mempunyai kepentingan dalam parti itu.
“Mereka bimbang kalau keluar parti, kepentingan tersebut mungkin tergugat. Ini tidak dapat dielakkan dan kita tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya,” kata beliau.
“Namun begitu berdasarkan maklum balas, saya yakin kedudukan kita akan bertambah baik,” tambahnya.
Beliau berkata, PPBM Negeri Sembilan yang dibubarkan baru-baru ini bagi membenarkan penstrukturan semula parti dijalankan perlu diperkuatkan terlebih dahulu sebelum usaha memenangi hati ahli Umno dapat dilakukan.
Eddin juga mengingatkan tentang kemungkinan peratus keluar mengundi kali ini rendah kerana kira-kira 5,000 pengundi Port Dickson bekerja di luar, dan kebanyakannya di Singapura.
Katanya kemenangan beliau di Kuala Pilah dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas tidak dijangka.
“Selama 60 tahun parti pembangkang tidak pernah menang di Kuala Pilah,” katanya.
Anwar, yang berusaha kembali ke Parlimen melalui pilihan raya kecil itu, dilihat sebagai calon pilihan dalam persaingan 7 penjuru yang menyaksikan beliau berhadapan dengan calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan 5 calon Bebas termasuk Isa, dan bekas pembantu beliau Mohd Saiful Bukhari Azlan.