
Kejadian itu berlaku di Melbourne apabila seorang pemandu UberEats dirakam dengan selamba membuka beg kertas dipercayai berisi kentang goreng dan memakannya di pintu masuk sementara menunggu pelanggan membuka pintu.
Bagaimanapun dia sempat mengunyah habis makanan tersebut sebelum pelanggan membuka pintu.
Tetapi dia tidak perasan, terdapat kamera litar yang dipasang merakam semua aksi dia memakan makanan yang dipesan pelanggannya.
Menariknya, pelanggan tersebut adalah rakan kepada hos program radio ‘Hot Breakfast’ Eddie McGuire, yang akhirnya berkongsi pengalaman itu kepada pendengar.
“Dia menekan loceng dan menunggu, sambil itu dia mengintai beg kertas. Dia menyeluk beg kertas dan keluarkan kentang goreng sebelum dimasukannya ke dalam mulut,” kata Eddie dalam radio merujuk kepada kejadian pada Isnin lepas.
Eddie juga akui dia pernah mengesyaki budak penghantar makanan menyeluk beg makanan yang dipesannya kerana makanan yang diterimanya sering ‘ringan’ daripada sepatutnya.
“Perkara ini sering berlaku. Makanan yang dihantar penghantar UberEats sering kali agak ringan,” katanya membuat kesimpulan sambil berkongsi video rakaman tersebut.
Bagaimanapun pengacara bersama Eddie iaitu Wil Anderson berkata dia bersimpati dengan budak penghantar yang mungkin berbuat demikian kerana tidak mendapat bayaran yang mencukupi dan menggantikan ‘chips’ dengan ‘tips’.
Perkara itu menjadi bahan debat dalam kalangan netizen dan pendengar rancangan itu sehingga ada yang mahu penghantar makanan tersebut dipecat selain ada yang berpendapat ia cara terbaik melayan pelanggan yang malas.
Apapun, pastikan makanan yang kita pesan sampai secukupnya, kalau ragu-ragu, periksalah CCTV di rumah atau pejabat anda!