Penduduk pedalaman lega dan selesa adanya klinik bergerak

Penduduk pedalaman lega dan selesa adanya klinik bergerak

Penduduk kampung pedalaman dekat Rumah Panjang Anthony Bau tidak mahu ketinggalan daripada menggunakan kemudahan perkhidmatan perubatan percuma yang ditawarkan oleh Misi Klinik Bergerak anjuran UMW dengan kerjasama Mercy Malaysia.

Seawal pukul 8 pagi beberapa orang wanita berkulit sawo matang sudah beratur panjang di satu sudut rumah panjang menunggu giliran untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Berpakaian kain batik bermotifkan bunga yang diikat di luar kemeja-T, mereka kelihatan begitu gembira dan seolah-olah sudah tidak sabar lagi untuk berjumpa dengan doktor.

Biarpun terpaksa menunggu agak lama, tidak kedengaran rungutan atau keluhan bahkan suasana ruai tamu rumah panjang ini agak meriah apabila masing-masing mula bertukar cerita kerana ada antaranya datang daripada kampung yang berhampiran.

Pada masa yang sama, di satu ruang berhampiran pintu utama pula, anak kecil berumur antara 5 hingga 8 tahun begitu teruja dengan sesi interaktif yang dikendalikan oleh seorang sukarelawan mengenai teknik penjagaan gigi.

“Saya tahu program ini (klinik bergerak) dari kawan dan memang tidak mahu lepaskan peluang datang mendapatkan rawatan. Saya bangun seawal pukul 6 pagi dan sanggup tumpang sampan rakan untuk datang ke sini.

“Terpaksa tolak awal pagi kerana saya tinggal di Rumah Panjang Mengiring dan ambil masa 2 jam sampai ke sini (Rumah Panjang Anthony Bau),” kata Sangan Panggau.

Wanita ini adalah antara penghuni rumah panjang yang tidak mahu ketinggalan daripada menggunakan kemudahan perkhidmatan perubatan percuma yang ditawarkan oleh Misi Klinik Bergerak anjuran UMW Corporation Sdn Bhd (UMW) dengan kerjasama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia).

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkenaan diadakan di Rumah Panjang Anthony Bau yang terletak di Nanga Sugai, Rantau Tapang, Mujok, Sarawak.

Secara percuma

Diadakan selama sehari bermula pukul 8 pagi hingga 9 malam di rumah panjang tersebut, program ini melibatkan 41 orang terdiri daripada 18 sukarelawan perubatan iaitu doktor, doktor gigi, pembantu perubatan, jururawat dan ahli farmasi. Selebihnya adalah kakitangan UMW dan pengamal media cetak serta elektronik.

Menariknya, program ini tidak hanya memberi manfaat kepada penghuni rumah panjang Anthony Bau sahaja tetapi kampung sekitar seperti Rumah Mengiring, Rumah Gerasi Kapi, Rumah Entili, Rumah Anthony Gelayan dan Sekolah Kebangsaan Nanga Ju.

Dianggarkan seramai 700 penduduk masyarakat suku kaum Iban ini mendapat faedah daripadanya.

Salah seorang wanita yang ditemu bual, Sangan, 48, memberitahu penulis, dia tidak kisah terpaksa bergerak awal pagi untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan percuma. Wanita ini menghidap darah tinggi, di samping mempunyai masalah mata serta sakit gigi yang sudah ditanggung sekian lama.

“Saya ada darah tinggi sejak tahun lepas dan sebab itu mahu buat pemeriksaan kerana boleh sekali dapat ubat. Selain itu, 2 gigi saya di bahagian kiri dan kanan juga sudah lama sakit.

“Doktor suruh saya tampal gigi tapi kena pergi Hospital Sibu, agak susah dan jauh, jadi saya suruh cabut saja. Bagi saya, rugilah kalau tak datang ke klinik bergerak ini kerana kami selalu menghadapi masalah mendapatkan pemeriksaan perubatan,” katanya sambil membetulkan ikatan kain batiknya.

Berbeza dengan penduduk di bandar yang mempunyai akses mudah menggunakan jalan darat untuk mendapatkan rawatan kesihatan, kalangan masyarakat Iban di kawasan pedalaman ini menghadapi kesukaran kerana lokasi penempatan yang terletak jauh di dalam hutan belantara tebal.

Belanja tinggi

Bergantung sepenuhnya pada sampan panjang sebagai pengangkutan utama, penduduk sekitar Sungai Mujok perlu meredah sungai bagi mendapatkan rawatan kesihatan yang bukan sahaja melibatkan perjalanan berjam-jam lamanya tetapi juga kos perbelanjaan agak tinggi.

Ini kerana klinik kesihatan paling hampir terletak di Nanga Maong dan ia mengambil masa 2 jam perjalanan dari rumah Anthony Bau. Itu pun bergantung kepada keadaan sungai dan paras air. Sekiranya ia cetek, ada kemungkinan masa perjalanan lebih lama lagi kerana terpaksa menarik sampan di kawasan tertentu.

Kemudahan perubatan di klinik berkenaan juga agak terhad selain tidak mempunyai doktor bertugas kerana hanya dikendalikan dreser dan jururawat. Untuk kes yang kronik, mereka perlu mendapatkan rawatan di Hospital Sibu atau Hospital Sarikei yang mengambil masa lebih lama dan kos lagi mahal.

Misalnya untuk ke Hospital Sibu, penduduk Sungai Mujok perlu meredah sungai ke Pangkalan Entabai dahulu yang mengambil masa antara 4 hingga 5 jam perjalanan dan kemudian menempuh pula jalan darat sejauh 120 km.

“Kalau tidak ada RM700 ke atas, tidak perlulah keluar untuk dapatkan rawatan perubatan di hospital. Memang tidak cukup dan bayaran itu pun hanyalah kos pembelian minyak enjin sampan pergi balik dari rumah panjang Anthony Bau ke Pangkalan Entabai.

“Ia tidak termasuk lagi perbelanjaan darat ke Sibu dan hotel disebabkan tidak sempat jumpa doktor hari sama kerana perjalanan sudah satu hari. Adik abang saya kena penyakit kanser tidak mahu dapatkan rawatan kerana kos tinggi akhirnya meninggal,” kata Sangan.

Sangat bermanfaat

Dengan pendapatan tidak menentu kerana majoriti bekerja sebagai petani, biasanya penduduk sanggup menahan kesakitan dan hanya mendapatkan rawatan apabila sudah terdesak disebabkan tidak mampu menanggung kos perjalanan tinggi ke hospital.

Ini yang berlaku pada Mandu Sumping, 38, apabila dia terpaksa memberi air sahaja kepada anaknya yang sakit cirit-birit bagi mengantikan kekurangan cecair dalam badan anaknya disebabkan kesukaran dihadapi untuk mendapatkan rawatan.

“Kadang-kadang nak dapatkan RM100 pun susah kerana jualan tanaman lada hitam tidak menentu. Manakala, perkhidmatan doktor udara bukannya tiap-tiap bulan dan kebiasaannya saya tidak sempat kerana apabila sampai sahaja di Sekolah Kebangsaan Nanga Ju mereka sudah balik.

“Dengan adanya program sebegini (klinik bergerak) saya dapat membawa anak yang sudah seminggu cirit-birit mendapatkan rawatan. Diharap program ini akan dilakukan lagi di tempat kami,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas kemudahan perubatan yang disediakan, Dr Ayu Akida Abd Rashid yang mengetuai pasukan perubatan untuk misi itu berkata antara perkhidmatan yang disediakan adalah pemeriksaan tekanan darah, berat, ketinggian, rawatan pergigian, panduan kesihatan, ceramah, kit kebersihan dan ubat-ubatan.

Menurut beliau, secara keseluruhannya, kebanyakan penduduk masyarakat Iban di kawasan itu mempunyai tahap kesihatan yang memuaskan.

Bagaimanapun, ramai yang menghidap penyakit berkaitan otot dan sendi disebabkan pekerjaan sebagai petani yang memerlukan mereka mendaki bukit dan membawa peralatan berat seperti cangkul.

Menurutnya, rawatan tidak hanya tertumpu pada pemberian ubat semata-mata tetapi sesi ceramah mengenai cara menanganinya serta fisioterapi turut diadakan. Penduduk diajar melakukan senaman regangan badan serta pergerakan yang memberi penumpuan terhadap bahagian otot bermasalah.

“Ini kali kedua saya datang ke sini selepas tahun 2013 untuk misi yang sama. Saya dapati tahap kesedaran mereka mengenai penjagaan kesihatan semakin meningkat berbanding sebelumnya.

“Ramai yang patuh dengan cara pemakanan ubat, tidak berlengah jumpa doktor apabila ubat tinggal sedikit dan banyak soalan mengenai kesihatan. Mereka tidak melepaskan peluang mendapatkan perkhidmatan kesihatan bergerak,” katanya.

Manakala dari sudut pemilihan lokasi, Pengerusi Mercy Malaysia Bahagian Sarawak Martin Jandom berkata penempatan yang jauh di pedalaman, kesukaran akses kemudahan kesihatan adalah antara faktor mengapa klinik bergerak dijalankan di kampung berkenaan.

Beliaui berkata, lazimnya Mercy Malaysia mengambil masa sebulan membuat persiapan meliputi proses pemilihan lokasi, bajet, jenis pengangkutan dan mengenalpasti keperluan ubatan diperlukan dalam menjayakan sesuatu program.

Komitmen UMW

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan UMW Corporation Sdn Bhd Badrul Rahman berkata program CSR UMW bersama Mercy Malaysia bermula sejak 2009 dan memberi manfaat lebih 25,000 penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak setakat ini.

“Untuk tahun 2018, 4 program dirangka bersama Mercy iaitu 3 di Sabah, satu di Sarawak dan 2 program di Sabah dijayakan begitu juga Sarawak di rumah Anthony Bau ini.

“Peruntukan sebanyak RM150,000 diberikan kepada Mercy Malaysia tahun ini untuk menjayakan program tersebut. Diharap klinik sebegini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya.

Menariknya, kerjasama terjalin tidak hanya tertumpu kepada pemberian dana tetapi juga dari sudut tenaga apabila kakitangan UMW turut terlibat sebagai sukarelawan. Mereka wajib mengikuti latihan yang dikendalikan Mercy Malaysia sebagai persediaan menghadapi keadaan tidak disangka dalam misi perubatan.

“Majoritinya beranggapan misi perubatan ini senang saja tetapi bukan semua sukarelawan mampu bertahan di dalam hutan, tandas yang tidak berupa tandas untuk tempoh tertentu. Bagi misi kali ini, seramai 3 kakitangan UMW terlibat.

“Kalau ditanya sampai bila akan menaja program sebegini, bagi UMW kami akan terus komited menjayakannya untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.