
Seorang ibu kepada 3 orang anak dan pelajar bidang psikologi di Universiti Terbuka Malaysia, Kokilam Kathirvailu, dinobatkan sebagai Ratu Mrs Malaysia World 2018.
Fasa akhir pertandingan yang diadakan pada 29 September 2018 di Kuala Lumpur bakal membawa Kokilam, 34 tahun, untuk mewakili Malaysia ke Ratu Mrs World di Zhangjiajie, China pada 12 Januari 2019.
Kokilam yang disarungkan dengan tiara berlian dan aquamarine Ceres bernilai RM2.5 juta turut ditemani pemenang tempat kedua dan ketiga Mrs Malaysia World 2018 iaitu Lila Ruzani Hussain dan Marianny Ismail.
Ekoran kemenangan itu, Kokilam menerima hadiah berupa pakej perhiasan bernilai RM25,000 dari Ceres, 1,000 keping syiling Glitzkoin, penjagaan kulit Ceramiracle bernilai RM5,000, sepasang kasut bernilai RM2,500 dari Lewre Bespoke, sepasang kasut buatan Nottingheels bernilai RM1,000 dan penginapan 2 malam percuma di Royale Chulan Cherating.
Pertandingan yang menerima lebih 60 penyertaan dari Johor, Selangor, Melaka, Pahang, Sarawak dan Kuala Lumpur akhirnya disenaraipendek kepada 18 peserta.
Ratu Mrs Malaysia World 2017 yang juga pengarah pertandingan tersebut, Datin Harveen Kaur dalam laporan Bernama akui pertandingan tersebut memberi pengiktirafan dan pemerkasaan kepada ibu-ibu dan wanita berkahwin untuk tampil menunjukkan bakat serta menjadi contoh terbaik kepada masyarakat.
Dalam pada itu, pemenang tempat kedua, Lila, 47 merupakan seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah NGO, juga dari Kuala Lumpur, turut menggondol anugerah Ratu Kebajikan.
Pemenang tempat ketiga, Marianny, 33, ialah seorang ahli geologi petroleum dari Melaka.
Acara tersebut disempurnakan oleh Tengku Puteri Seri Teja Pahang Puan Sri Tengku Muhaini Sultan Haji Ahmad Shah. Turut bersama ialah Ratu Mrs World 2017, Alice Lee Gianetta.