
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, JPJ mempunyai maklumat terperinci mengenai identiti mereka.
“Kita sudah ingatkan semua pemegang atau pembeli lesen terbang supaya kembalikannya kepada JPJ,” katanya pada majlis pesta tanglung di sini, hari ini.
Maklumat mengenai lesen terbang terbongkar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 pegawai dan anggota JPJ dari Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak sejak 4 September lalu.
Katanya, sekurang-kurangnya 2 lagi anggota JPJ ditahan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan itu.
Loke tidak mengulas lanjut mengenai tangkapan itu.
Beliau berkata, pihaknya maklum tentang iklan penjualan lesen terbang di laman sosial Facebook dan mengarahkan ketua pengarah JPJ menjalankan siasatan untuk tindakan lanjut.
Kini, terdapat 14,000 pemegang lesen terbang di seluruh negara.
Semua 12 kakitangan JPJ yang ditahan itu membabitkan seorang timbalan pengarah, masing-masing 2 penolong pegawai penguat kuasa dan ketua pembantu penguat kuasa, 6 pembantu penguat kuasa dan seorang pembantu tadbir.