
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor itu berkata, kerajaan negeri mengambil tindakan tegas dengan melakukan 3 operasi bersepadu ke atas kilang haram itu selepas menerima banyak aduan daripada orang awam.
Selain Jenjarom, katanya, penguatkuasaan turut dijalankan terhadap kilang haram memproses sisa plastik di kawasan lain seluruh Selangor.
Adun Kinrara itu berkata, terdapat 2 punca Jenjarom dijadikan lokasi mengitar semula sisa plastik dari negara lain.
“Sebab pertamanya dekat dengan Pelabuhan Klang. Keduanya, kebanyakan kawasan di sana status tanah pertanian.
“Tanah pertanian itu sewa dia murah dan dia boleh sembunyi di dalam ladang kelapa sawit, orang lain tak nampak,” katanya ketika dihubungi FMT.
Stesen radio dan portal berita New Zealand, RadioNZ baru-baru ini melaporkan ribuan tan sisa plastik dari negara itu didakwa dibawa masuk ke Malaysia, selepas China mengharamkan pengimportan sisa plastik.
Menurut laporan itu, hampir 40 kilang haram yang beroperasi di Jenjarom membakar dan membuang air tercemar selepas memproses sisa plastik itu.
Kebanyakan kilang itu terletak dalam ladang kelapa sawit di Kuala Langat kerana kosnya lebih murah dan berdekatan aliran air.
Ng menggesa kerajaan pusat memperketatkan kawalan ke atas pengimport sisa plastik dan menyuarakan bantahan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Ini kerana, katanya, negara maju tidak sepatutnya membuang sampah mereka ke negara membangun.
“Ini sebenarnya bukan masalah Selangor, ini adalah masalah antarabangsa dan saya rasa Kementerian Luar harus membawa isu ini kepada PBB.
“Kenapa negara-negara maju seperti Australia, New Zealand, United Kingdom, Jepun mampu mengendali sampah di negara mereka kerana mereka ada teknologi dan mereka kaya. Kenapa dia nak eksport sampah-sampah ini ke negara seperti Malaysia dan negara di Asia?”