
Memang nampak seronok berjalan sekeliling dusun tetapi, perlu ingat, sesebuah dusun memerlukan penjagaan sewajarnya. Semak samun harus dibersihkan dan sesetengah pohon buah-buahan perlukan lebih perhatian atau rawatan.
Jadi, jalan mudah untuk menikmati buah-buahan segar dari pokok dan dapat berseronok di dusun adalah dengan ‘meminjam’ dusun. Di manakah tempatnya?
Anda boleh merasakan keseronokan ‘memiliki’ dusun di Ladang Buah-buahan Tropika Melaka (MTFF) di Sungai Udang, kira-kira 21.8km dari bandar Melaka.
Kawasan ladang dan dusun buah-buahan seluas 70 hektar yang menyediakan penginapan konsep ladang itu adalah antara produk agro-pelancongan yang terkenal di negeri ini.
Selain buah-buahan, ladang berkenaan juga merangkumi taman herba, mini zoo, kolam ikan serta kawasan rekreasi dan aktiviti.
Ladang ‘serba ada’
Berpeluang mengunjungi ladang yang ‘serba ada’ itu memang mengujakan, walaupun penulis biasa meluangkan masa di dusun milik keluarga.
Lawatan itu dianjurkan baru-baru ini oleh MTFF sempena pelantikan Pengerusinya yang baharu Nick Yong Yoon Pin – yang turut meluangkan masa meninjau ladang berkenaan.
Sebaik memasuki kawasan ladang itu, kelihatan beratus-ratus ‘rumah’ kelulut di bawah teduhan antara pepohon sawit. Selain dapat melihat lebah kelulut dengan lebih dekat, saya dan sekumpulan wartawan yang hadir juga berpeluang mempelajari selok-belok menguruskan lebah itu.
Terdapat kira-kira 500 unit log kelulut di situ.
Meneruskan lawatan ke sekitar dusun dengan kenderaan yang disediakan, kami melintasi kawasan tasik yang luas. Sangat mendamaikan apatah lagi dengan adanya tumbuh-tumbuhan teratai menghiasi permukaan tasik buatan itu yang asalnya adalah kawasan paya sebelum 1984.
Tasik itu sering kali digunakan untuk aktiviti kerja berpasukan anjuran pelbagai pihak. Terdapat kawasan lapang di sekitar tasik untuk reakreasi dan aktiviti darat termasuk berbasikal, berkayak, memanah, memancing, berakit, ‘explorace’, ‘flying fox’ serta merentas hutan.
Yong, yang agak arif dengan latar belakang ladang itu, memberitahu, selain pakej penginapan percutian untuk orang ramai, MTFF juga menawarkan beberapa pakej menarik untuk tujuan kerja berpasukan.
“Memahami keperluan golongan yang memerlukan lebih daripada sekadar lawatan singkat, pengurusan ladang juga menawarkan beberapa pilihan penginapan termasuk chalet, asrama atau boleh juga berkhemah di sini,” katanya.
Tahun lepas, kira-kira 30,000 pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi ladang itu dan sasaran hingga hujung tahun ini adalah tambahan sebanyak 10,000 pengunjung.
Aroma rempah
Ketika menuju ke kawasan dusun buah-buahan, kami terhidu aroma rempah ratus yang menyegarkan.
Ternyata, destinasi seterusnya adalah taman herba yang menempatkan kira-kira 400 spesies tanaman termasuk kacip fatimah, tongkat ali, kayu manis, misai kucing, belalai gajah, buah pala, sirih, tenggek burung, tunjuk langit dan lain-lain.
Memang mengujakan hinggakan terlupa seketika mengenai buah-buahan. Terlalu banyak tumbuh-tumbuhan herba dengan pelbagai aroma berbeza dan tidak pernah terbayangkan.
Sebelum tiba ke destinasi akhir dan berpeluang menikmati buah-buahan, kenderaan kami berhenti di mini zoo.
“Para pengunjung bukan sahaja boleh memetik dan menikmati pelbagai jenis buah-buahan di sini malah berpeluang mengenali pelbagai jenis herba dan haiwan.
“Mereka juga boleh memberi makan serta bergambar dengan haiwan-haiwan yang jinak seperti burung unta, lembu bali, rusa, kambing, burung puyuh dan arnab di sini,” kata Yong ketika kami meninjau dan ‘bermain-main’ dengan penghuni mini zoo itu.
Menikmati durian
Menuju ke destinasi akhir, dari jauh lagi bau durian sudah menusuk hidung masing-masing – menandakan kami semakin menghampiri dusun buah-buahan.
Sambil berjalan-jalan meninjau sekitar dusun, kami berpeluang memetik buah-buahan di situ. Terdapat lebih 50 jenis pokok buah-buahan di situ termasuk durian, manggis, rambutan, duku, longan, langsat, mata kuching, durian belanda, buah naga dan banyak lagi.
Menariknya, ada juga buah yang jarang ditemui di pasaran seperti buah melaka, rambai dan buah mentega (butterfruit).
Penulis tidak melepaskan peluang memetik buah mentega lantas merasanya – lemak manis. Difahamkan buah itu juga dikenali sebagai buah bisbul, atau buah seralat dalam kalangan masyarakat di utara Semenanjung Malaysia.
Pada satu kawasan lapang, kelihatan beberapa buah meja yang dipenuhi pelbagai buah-buahan manakala tidak jauh dari situ pula terdapat beberapa helai tikar yang sudah terhampar ‘menantikan’ kedatangan kami.
Semestinya durian yang menjadi rebutan – walaupun sebenarnya kami tidak perlu berebut.
Sambil santai menikmati buah-buahan, Yong memberitahu pelbagai kemudahan termasuk lawatan berpandu disediakan di ladang itu untuk memberi peluang kepada pengunjung melihat dan menikmati suasana damai yang dikelilingi kehijauan alam semulajadi.
Eksport gaharu
MTFF, yang dirasmikan pada 2003, sebelum ini dikenali sebagai Pusat Latihan Pertanian Sungai Udang dan kemudian bertukar nama kepada Sungai Udang Agro Park. Ladang itu bakal dijenamakan semula sebagai pusat pelancongan berilmu dan dijadikan hub penyelidikan pertanian dalam masa terdekat.
Yong berkata penjenamaan semula itu selari dengan usaha kerajaan merancakkan industri agro pelancongan selain meningkatkan percambahan ekonomi terutamanya melalui perusahaan kelulut dan gaharu yang terhasil daripada pokok karas yang terdapat di ladang berkenaan.
Beliau berkata usaha mentransformasikan ladang itu sebagai hub penyelidikan pertanian juga dijangka mampu mengembangkan taraf ekonomi penduduk setempat termasuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
Yong berkata industri agro pelancongan nyata memberi limpahan manfaat kepada penduduk setempat dan pihaknya menerima maklum balas positif daripada pengusaha dan peniaga produk hiliran berasaskan sumber tempatan terutama berasaskan kelulut dan gaharu.
Beliau berkata perusahaan gaharu juga menjana pulangan lumayan terutama di pasaran antarabangsa kerana produk berkenaan mempunyai nilai yang sangat tinggi dengan pelbagai kegunaan seperti bahan wangian dan perubatan.
Menyedari potensi pokok karas dari sudut komersial, katanya, MTFF mengambil inisiatif mewujudkan pusat pemprosesan gaharu sejak Mac lepas di ladang berkenaan.
Gaharu itu dieksport ke Arab Saudi, Singapura, India dan Indonesia.