
“Bila kali terakhir periksa tekanan darah?” tanya doktor kepada pemandu teksi.
“Lama dulu…mungkin 30 tahun,” lelaki berusia 52 tahun itu menjawab pertanyaan doktor yang sedang merawat dirinya yang diserang strok yang teruk dengan bacaan tekanan darahnya 200 mmHg!
Sudah tentu jawapan pemandu teksi itu sesuatu yang memeranjatkan. Beliau kemudiannya mendapat tahu lelaki itu tidak pernah jatuh sakit sebelum ini, justeru beranggapan tidak perlu memeriksa tekanan darahnya.
Pembunuh senyap
Kisah pemandu teksi ini dikongsikan Profesor Dr Chia Yook Chin, Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia (MSH) pada majlis kempen ‘HealthinUrHands’ oleh Omron, baru-baru ini.
Kempen berkenaan diadakan untuk mendidik orang ramai mengenai kepentingan mencegah serta menguruskan hipertensi menerusi pemantauan tekanan darah di rumah yang kerap.
“Inilah antara masalah masyarakat kita. Mereka hanya jumpa doktor bila sakit! Malangnya tekanan darah tinggi yang juga dikenali sebagai hipertensi adalah pembunuh senyap.
“Tidak ada gejala atau tanda yang anda ada tekanan darah tinggi dan seperti pemandu teksi itu. Anda akan hanya tahu apabila diserang penyakit yang teruk seperti strok atau serangan sakit jantung. Ini amat menyedihkan, “katanya.
Dianggarkan 2 daripada 3 orang dewasa berusia 30 tahun atau lebih tidak tahu dan tidak sedar mereka mempunyai tekanan darah tinggi.

“Salah satu sebab utama mengenai strok dan serangan sakit jantung berlaku ialah kurang kesedaran. Setiap orang dewasa perlu memeriksa tekanan darah tinggi dan jika ada hipertensi, rawatan boleh diberi.
“Ramai yang tidak sedar kegagalan membuat pemeriksaan tekanan darah boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit kardiovaskular seperti serangan sakit jantung dan strok yang boleh menyebabkan kematian, “ tambah Dr Chia.
Setiap tahun dianggarkan seramai 40,000 rakyat Malaysia menderita serangan strok dan ia bukan hanya melibatkan warga emas tetapi juga golongan muda.
Satu perkara yang perlu diambil berat ialah penyakit hipertensi dilaporkan semakin meningkat dengan lebih 30% orang dewasa berusia 18 tahun ke atas mengalami tekanan darah tinggi.
Oleh yang demikian, amat penting untuk setiap orang dewasa di negara ini memeriksa tekanan darah mereka secara kerap.
Ketahui tekanan darah anda
Hipertensi boleh dibahagikan kepada 2 kategori iaitu primer dan sekunder.
Hipertensi primer (juga dipanggil hipertensi “essential”) biasanya berlaku kepada orang dewasa tanpa punca yang boleh dikesan dan akan berterusan bertahun-tahun lamanya.
Hipertensi sekunder pula mungkin berpunca daripada pelbagai keadaan seperti penyakit buah pinggang serta pengambilan ubat yang mungkin melonjakkan tekanan darah.
Menjelaskan lebih lanjut, Dr Chia berkata pemeriksaan tekanan darah yang kerap serta mengambil kira sebarang perubahan termasuk peningkatan boleh membantu seseorang itu menyedari tahap kesihatannya.
“Tekanan darah normal adalah antara 120/80 mmHg dan 140/90 (120/80-140/90). Sebarang bacaan yang sama atau melebihi 140/90 dianggap tinggi dan sekiranya ia kekal begitu, doktor akan meminta lebih bacaan dibuat untuk tempoh beberapa hari atau beberapa minggu.
“Faktor persekitaran juga boleh menyumbang kepada peningkatan tekanan darah, termasuk tekanan yang mungkin ramai mengalaminya apabila mahu berjumpa doktor. Bagaimanapun, sekiranya bacaan masih lebih daripada 140/90 selepas beberapa kali bacaan, pesakit akan dianggap mengidap hipertensi, ” tambahnya.
Beliau turut menekankan terdapat banyak faktor risiko yang berkait dengan hipertensi seperti umur (orang yang lebih tua mempunyai risiko yang lebih tinggi), genetik atau sejarah keluarga serta keadaan kronik seperti penyakit buah pinggang, gaya hidup kurang sihat (pemakanan kurang sihat, kurang senaman), obesiti, merokok, terlampau banyak minum alkohol dan pengambil garam yang berlebihan.
“Meskipun tekanan darah tinggi lebih lazim untuk orang yang lebih tua, keadaan ini juga boleh menimpa golongan muda terutamanya mereka yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti tidak bersenam, makan terlalu banyak makanan segera dan mempunyai lebihan berat badan.
“Orang ramai boleh menukar gaya hidup dengan mengurangkan pengambilan garam termasuk sodium yang berbentuk lain dan mungkin tersembunyi dalam makanan yang diproses, roti dan sos bagi mengelakkan atau mengawal tekanan darah.
“Meskipun ada sesetengah faktor berisiko seperti sejarah keluarga yang tidak boleh diubah, yang lainnya boleh dikawal menerusi rawatan dan pengambilan ubat, “ jelasnya.
Rawatan dan ubat
Sesetengah pesakit bimbang untuk mengambil ubat untuk mengawal tekanan darah tinggi kerana kepercayaan pengambilan ubat yang berterusan untuk tempoh yang panjang boleh menyebabkan kesan sampingan terutama kerosakan buah pinggang.
Mengulas perkara ini, Perunding Pakar Kardiologi di Gleneagles Hospital Kuala Lumpur Dr Azani Mohamed Daud, yang turut berada di majlis berkenaan menekankan pengambilan ubat yang betul untuk mengawal tekanan darah tinggi akan membantu melindungi buah pinggang dan bukan merosakkannya.
“Pesakit sering bimbang dan bertanya apakah buah pinggang mereka akan terjejas dengan pengambilan ubat. Kita perlu mendidik mereka dan memperbetulkan salah tanggapan yang pengambilan ubat secara berpanjangan boleh merosakkan buah pinggang. Kita juga perlu menjelaskan kepada pesakit tekanan darah tinggi yang tidak dikawal boleh menyebabkan kerosakan dan kegagalan buah pinggang. Keadaan ini kemudiannya memerlukan dialisis.
“Sama juga dengan pesakit diabetes, mereka menanggung risiko kerosakan buah pinggang yang lebih tinggi sekiranya paras gula tidak dikawal dan tinggi mungkin boleh merosakkan buah pinggang. Pesakit yang mempunyai tekanan darah tinggi serta paras gula yang tinggi menanggung risiko kerosakan buah pinggang lebih tinggi, “ jelasnya.
Apakah pesakit boleh menghentikan pengambilan ubat sekiranya tekanan darah mereka kembali seperti biasa?
Menjawab soalan berkenaan, Dr Azani berkata apa yang perlu difahami ialah pengambilan ubat hanyua boleh mengawal tekanan darah tinggi dan bukan mengubatinya.
Bagaimanapun, sekiranya pesakit berhenti daripada mengambil ubat, tekanan darah akan kembali tinggi.
“Jadi jawapannya ialah tidak. Sekiranya tekanan darah dikawal dengan pengambilan ubat, tolong teruskan mengambil ubat itu, “ katanya.
Beliau turut menekankan agar mereka yang disahkan menghidap tekanan darah tinggi agar selalu berjumpa dokTor mereka dan menjalani pemeriksaan kerap untuk memastikan tekanan darah tinggi mereka terkawal.
Apa seseorang itu semakin meningkat usia, terdapat kecenderungan untuk tekanan darah meningkat lagi akibat saluran darah mengeras dan mungkin pengambilan ubat perlu ditambah.
“Sekiranya pesakit hanya mengambil ubat yang sama tanpa pemeriksaan lanjutan, mungkin ada risiko tekanan darah meningkat yang boleh menyebabkan strok, serangan sakit jantung dan kerosakan buah pinggang, “ kata Dr Azani.
Pemantauan di rumah
Sehubungan dengan itu, amat penting untuk seseorang itu memantau secara kerap tekanan darah di rumah agar tahu tahap kesihatan dan mendorongnya mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.
Bagaimanapun, disyorkan supaya alat mengukur tekanan darah yang digunakan di rumah mempunyai pengesahan protokol antarabangsa untuk ketepatan. Mereka juga dinasihatkan berjumpa dengan doktor atau pakar mengenai perkara tersebut.
Kedua-dua pesakit dan bukan pesakit juga perlu dididik cara mengambil bacaan yang betul kerana ia menjamin bacaan yang boleh menyumbang kepada kawalan tekanan darah yang optimum.
“Untuk diagnosis awal tekanan darah yang tinggi, pengambilan bacaan tekanan darah di rumah perlu dibuat sekurang-kurangnya 3 hari dan lebih elok selama 7 hari. Bacaan perlu diambil pada masa yang sama di waktu pagi dan petang.
“Juga disyorkan 3 bacaan perlu diambil setiap kali dan dicatat di dalam buku nota untuk perbincangan dengan doktor, ” jelasnya.
Beliau menambah, sebaik sahaja pesakit menjalani rawatan, kekerapan mengambil bacaan sebaik sahaja tekanan dapat dikawal, mungkin dibuat dalam jarak yang lebih panjang, contoh secara mingguan.
Ada beberapa perkara perlu diambil berat seperti tidak ada senaman, minum kopi atau merokok 30 minit sebelum bacaan diambil serta tidak memakan pakain ketat kerana ia boleh menjejaskan bacaan.
Pesakit juga perlu duduk dengan selesa dengan serta bersandar dan tangan diletakkan sama paras dengan jantung.
“Alat memantau tekanan darah boleh juga digunakan untuk menilai keberkesanan pengambilan ubat anti-hipertensi. Ini dapat membantu pesakit dan doktor membuat keputusan mengenai bentuk rawatan agar dapat hasil yang lebih baik.
“Kajian yang dijalankan di dalam dan luar negara mendapati pesakit yang mempunyai alat memantau tekanan darah di rumah dan diajar cara menggunakannya dengan betul bertindak positif kepada pematuhan mengambil ubat. Ini turut menghasilkan kawalan tekanan darah yang lebih baik, ” katanya.