Pakar terorisme sokong Mujahid tolak Zakir Naik

Pakar terorisme sokong Mujahid tolak Zakir Naik

Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata sokongan itu dibuat berdasarkan Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Mohd Mizan Mohammad Aslam menegaskan Malaysia tidak perlu penceramah ekstrem seperti Zakir Naik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pakar terorisme tempatan menyokong pendirian Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa yang mendakwa kaedah dakwah penceramah kontroversi, Zakir Naik tidak sesuai di Malaysia.

Ahli panel pakar deradikalisasi Kementerian Dalam Negeri, Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata sokongan itu dibuat berdasarkan Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Malaysia negara berbilang kaum dan perlu menjaga sensitiviti antara penganut agama. Kita melalui tempoh sukar membangunkan negara selama 61 tahun.

“Pernah ditandai dengan sekurang-kurangnya 2 kejadian konflik agama iaitu 13 Mei dan tragedi Kampung Medan, jadi keharmonian perlu dikekalkan,” katanya kepada FMT.

Mizan turut menegaskan Malaysia tidak perlu penceramah ekstrem seperti Zakir, kerana negara ini mempunyai pendekatan sendiri dalam menyampaikan dakwah sesuai dengan masyarakat majmuk.

“Kita tidak perlukan orang yang ekstrem seperti Zakir dan lain-lain yang mana budaya dan cara mereka tidak sesuai dengan kita.

“Malah pendekatan Zakir, penceramah Islam warga Kanada, Bilal Philips dan Tariq Ramadan, sarjana Muslim Eropah juga ditolak di negara mereka sendiri.

“Jadi mengapa kita mahu import idea dan cara mereka ke negara ini,” katanya merujuk kepada keterbukaan Malaysia menerima pendakwah luar berbanding rakyat tempatan.

Terdahulu Mujahid menegaskan kaedah dakwah yang menghina dan merendah-redahkan agama selain Islam adalah tidak sesuai di Malaysia.

Beliau memberi contoh Zakir yang kerap menghina agama selain Islam.

“Kalau tanya saya, saya kira cara penyampaian dakwah Zakir adalah tidak sesuai di Malaysia. Kita tidak perlukan kaedah perdebatan yang mencaci agama orang lain,” katanya.

Mizan berkata, walaupun negara meraikan perbezaan namun ia bukanlah bersifat inklusif yang akhirnya boleh menganggu kestabilan negara dengan berlakunya permusuhan antara agama dan kaum.

“Penentangan yang berlaku boleh menjadi duri dalam daging kepada pemerintah. Jika tidak ditangani dengan cermat akan melahirkan tindakan yang radikal daripada golongan ekstrem.

“Akan ada kelompok yang sanggup mengambil tindakan sendiri dan akibatnya akan ada kepala lembu di kuil dan kepala babi di masjid, sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.