Isu tanah adat: Orang Asli ugut lawan Putrajaya sokong dasar Kelantan

Isu tanah adat: Orang Asli ugut lawan Putrajaya sokong dasar Kelantan

Ia susulan kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa yang bersetuju dengan dasar kerajaan Kelantan dalam menyelesaikan isu tuntutan tanah Orang Asli di Gua Musang.

Mustafa Along (tiga dari kiri) berkata, pendirian kerajaan persekutuan itu jelas bertentangan janji PH untuk membela nasib Orang Asli sebelum pilihan raya umum 9 Mei lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Orang Asli di Gua Musang mengugut akan terus mendirikan sekatan untuk menghalang tanah adat mereka diceroboh, sebagai tanda bantahan terhadap tindakan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) mempersetujui dasar kerajaan Kelantan dalam menyelesaikan isu tuntutan tanah masyarakat itu.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along merujuk kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa yang bersetuju menggunakan pendekatan sama berdasarkan kes diputuskan mahkamah sebelum ini untuk menangani tuntutan tanat adat Orang Asli.

“Sekiranya timbalan menteri kata setuju dengan negeri dalam tindakan mereka, kami tidak setuju sebab jelas kerajaan negeri tolak bahawa tidak ada tanah adat, kecuali di Sabah dan Sarawak.

“Kalau benar itu pendapat pusat kita bantah, memang itu kenyataan membelakangkan kepentingan hak kami, jadi kami akan lawan.

“Kita akan tuntut, kita tidak akan mengaku kalah. Kalau kami tidak lakukan sesuatu, kami akan kehilangan hak kami. Kami juga akan terus lakukan sekatan,” katanya kepada FMT.

Beliau merujuk kenyataan Sivarasa selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, kelmarin.

“Secara dasar, kedua-dua pihak sudah setuju berdasarkan prinsip yang diputuskan kes di mahkamah. Jadi kita bincang guna garis panduan itu untuk bantu kita selesai isu.

“Manakala Orang Asli juga akan guna prinsip sama untuk sediakan manakah kawasan yang mereka mahukan perlindungan,” kata Sivarasa dipetik Sinar Harian semalam.

Amar dilaporkan berkata, Putrajaya dan kerajaan negeri mempunyai pandangan sama, iaitu mengiktiraf hak Orang Asli, tetapi beliau menegaskan Kelantan tidak mengiktiraf tanah adat.

Katanya, kerajaan persekutuan mengakui isu tanah ialah bidang kuasa kerajaan negeri dan pewartaan perlu dicadangkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Alhamdulillah dari perbincangan itu banyak pada asasnya sama dalam isu Orang Asli. Cuma saya sebut di Kelantan ini kita tidak iktiraf tanah adat. Sebab tanah adat ini hanya di Sabah dan Sarawak sahaja.

Mustafa berkata, pendirian Putrajaya itu jelas bertentangan janji PH untuk membela nasib Orang Asli sebelum pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Itu berbeza dengan janji, kita harap kerajaan prihatin, jadi sebagaimana janji Malaysia baru, kita mahu kerajaan yang prihatin, bukan sekadar bela nasib Orang Asli, tetapi bangsa lain juga.

“Kalau kerajaan persekutuan setuju dengan kerajaan negeri, itu merupakan bentuk kezaliman yang dikenakan ke atas kami,” katanya yang mengugut akan memberi pengajaran kepada PH dalam pilihan raya umum akan datang.

Kumpulan Orang Asli mendirikan sekatan di Gua Musang sejak 18 Februari lalu bagi menghalang pekerja syarikat pembalakan dan ladang Musang King menceroboh kawasan hutan yang didakwa tanah adat mereka.

Pada 10 Ogos lalu, kira-kira 200 Orang Asli dari Gua Musang berkumpul di Putrajaya meminta bantuan Tun Dr Mahathir Mohamad mewartakan tanah adat mereka, selepas kerajaan Kelantan gagal berbuat demikian.

Susulan itu, perdana menteri memberi jaminan akan membantu menyelesaikan masalah isu pencerobohan tanah adat Orang Asli di Gua Musang yang menuntut pengiktirafan tanah adat melalui kaedah Geran Komuniti.

Pada 16 Ogos lalu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun berkata, pihaknya dalam proses mewartakan tanah adat Orang Asli di seluruh negara bagi menjamin hak golongan itu terhadap pemilikan tanah terpelihara.

Katanya, langkah itu melibatkan pindaan undang-undang sedia ada, sebelum kawasan berstatus tanah adat dapat diwartakan atas nama Orang Asli.

Tetapi, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan pada 11 Ogos lalu berkata, undang-undang tanah Kelantan tidak mempunyai istilah tanah adat seperti yang dituntut Orang Asli dari Gua Musang.

Beliau yang dilantik sebagai peguam kerajaan Kelantan untuk menyelesaikan isu tuntutan tanah Orang Asli berkata, tanah adat yang dituntut itu ialah milik “mutlak” kerajaan Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.