Dana GST hilang: PAC akan panggil Najib, Irwan Serigar

Dana GST hilang: PAC akan panggil Najib, Irwan Serigar

Pengerusi PAC berkata, Irwan Serigar akan dipanggil pada 16 Oktober ini dan Najib keesokannya.

PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Datuk Seri Najib Razak dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah untuk memberi keterangan berhubung dakwaan kehilangan dana pembayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM19.4 bilion.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, Irwan Serigar akan dipanggil pada 16 Oktober ini, walaupun diminta berbuat demikian pada 13 September lalu, manakala Najib akan berdepan jawatankuasa itu pada 17 Oktober.

Seramai 13 anggota PAC sudah menyoal siasat 2 bekas menteri kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, semalam.

Siasatan itu diadakan selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam sidang Dewan Rakyat 8 Ogos lalu mendakwa kerajaan kekurangan RM19.25 bilion kerana hanya ada RM148.6 juta dalam akaun amanah pembayaran balik GST, sedangkan akaun itu sepatutnya mempunyai RM19.4 bilion.

Lim dilaporkan berkata, Ketua Pengarah Jabatan Kastam, T Subromaniam menyatakan jabatan itu dalam mesyuarat jawatankuasa dana amanah bulanan meminta RM82.9 bilion dipindahkan ke akaun amanah pembayaran balik GST, tetapi hanya RM63.5 bilion diperolehi.

Kiandee berkata, PAC akan memanggil Lim memberi keterangan pada 22 Oktober bagi menjelaskan dakwaannya berhubung kehilangan dana itu.

Husni menjadi menteri kewangan II sejak Mac 2008 hingga Jun 2016, sebelum diganti Johari dari Jun 2016 hingga April lalu.

Menurut kenyataan PAC, Timbalan ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Siti Zauyah Md Desa dan beberapa pegawai dari Kementerian Kewangan turut hadir dalam prosiding semalam.

“Kedua-dua bekas menteri kewangan II memberi penjelasan kira-kira sejam menyentuh soal dasar dan tanggungjawab mengenai GST ketika memegang jawatan itu,” kata Kiandee.

Mengenai 1MDB, Kiandee berkata, PAC bersetuju memulakan siasatan ke atas syarikat milik Kementerian Kewangan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.