Kes liwat: 43 pelajar pusat tahfiz di Kepong diarah cuti

Kes liwat: 43 pelajar pusat tahfiz di Kepong diarah cuti

Seorang pentadbir pusat tahfiz itu berkata, arahan bercuti itu kerana pelajar tertekan dengan gangguan media dan mereka bimbang maklumat diberikan pelajar disalah tafsir.

Pusat tahfiz yang beroperasi di bangunan kedai pangsapuri di Kepong ini ditutup sementara.
KUALA LUMPUR:
Semua 43 pelajar pusat tahfiz di Kepong yang pengetuanya didakwa meliwat 9 pelajarnya, sudah diarahkan bercuti dan pulang ke kediaman masing-masing semalam.

Seorang pentadbir pusat tahfiz itu yang enggan dikenali berkata, beliau tidak tahu bila arahan bercuti itu akan tamat.

“Arahan bercuti ini kerana ada gangguan daripada pihak media, pelajar-pelajar kami tertekan…saya khuatir maklumat daripada anak-anak ini akan disalah tafsir, bukan sebab seperti kes yang dilaporkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada 13 September lalu, seorang pemilik pusat tahfiz itu ditahan polis selepas disyaki melakukan gangguan seksual, selain meliwat 9 pelajar berusia belasan tahun sejak beberapa bulan lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, susulan arahan bercuti itu, pusat tahfiz yang beroperasi di bangunan kedai pangsapuri ditutup sementara.

Sebelum itu, Pengarah Eksekutif (Pengurusan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mustafa Mohd Nor melawat dan memeriksa pusat tahfiz itu untuk mendapatkan maklumat.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut hasil pertemuan itu sehingga laporan siasatan selesai.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad hari ini mengarahkan DBKL menutup semua pusat tahfiz tidak berdaftar dan beroperasi secara haram di sekitar ibu negara bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin serta imej institusi keagamaan Islam terpelihara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.