
Rekaan dalaman dan hiasan di sesuatu lokasi pada masa kini mengambil kira kepentingan untuk bergambar atau lebih tepat berselfie oleh pelanggan untuk dimuatnaik dalam laman sosial.
Mungkin itulah juga yang difikirkan oleh pemilik sebuah kafe di Korea Selatan apabila rekaan dalaman di kedai kopinya itu ternyata lain daripada yang lain, seolah lukisan komik yang hanya berlatar tirai putih.
Kedai kopi yang terletak Seoul dekat dengan stesen keretapi Hongik University di bawah nama, “Cafe Yeonnam-dong 239-20” ini memberikan pengalaman kepada pelanggan merasa seperti diri mereka sebahagian karakter kartun dalam suasana berlatar hitam putih.

Kelainan yang dipaparkan itu menarik perhatian ramai sehingga netizen menggunakan ruang dan perhiasan di dalam kafe itu bagi tujuan merakam gambar untuk dimuatnaik dalam laman sosial mereka.
Rupanya, kafe tersebut di inspirasi daripada drama popular Korea, “W (Two Worlds)” yang dibintangi Lee Jong-suk dan Han Hyo-joo di mana kedua-dua watak utama tersebut akan bertukar dari dunia sebenar ke dunia fantasi di dalam kartun web.
Kafe yang dibuka pada Julai tahun lalu menawarkan minuman seperti kopi dan teh, serta makanan seperti kek dan biskut serta makanan ringan yang lain rata-rata kepada pelanggan generasi muda.

Walaupun ia kelihatan seperti kafe biasa dari luar, namun sebaik melangkah ke dalam, suasana keseluruhannya berbeza, termasuk kerusi dan meja, lantai, dinding dan hiasan lain yang seolah dilukis untuk sebuah komik.
Hampir semua pelanggan yang melawat kafe ini tidak ketinggalan merakam gambar mereka dengan pelbagai pose menarik selain menikmati makanan di sini.