
“RM19.4 bilion yang dikatakan hilang itu sebenarnya jumlah bayaran balik GST yang sedang diproses oleh kastam pada masa itu,” kata Johari selepas memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen hari ini.
Turut dipanggil ke sesi hari ini ialah bekas menteri kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Johari berkata ada kelewatan dalam memproses permohonan bayaran balik kerana tuntutan-tuntutan itu perlu disiasat, termasuk sama ada pemohon layak dibayar.
Menurut Johari, bayaran balik GST terbahagi kepada beberapa kategori dan bukan semua tuntutan boleh dibayar terus kerana statusnya sebagai “dana perbekalan” belum dikategorikan lagi sebagai “perbekalan bebas cukai”.
Beliau berkata siasatan ke atas tuntutan-tuntutan itu dilakukan oleh satu jawatankuasa khas yang diketuai ketua setiausaha Perbendaharaan dan turut dianggotai oleh para pegawai tertinggi kastam dan ketua akauntan negara.
“Ini urusan operasi semata-mata dan tidak melibatkan menteri kewangan II,” kata Johari.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini berkata 121,429 syarikat dan individu belum menerima bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion sejak 2015, dan ramai tertanya mengapa bayaran lewat dibayar.
Lim berkata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai kuasa untuk menghentikan pemindahan RM19.25 bilion ke kumpulan wang disatukan untuk bayaran balik GST daripada RM82.9 bilion yang diminta kastam.
Najib menafikan sebarang salahlaku.