Anwar: Tak mudah untuk Bersih kendali pemilihan PKR

Anwar: Tak mudah untuk Bersih kendali pemilihan PKR

Presiden PKR itu berkata, cadangan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik malam ini.

KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak mudah untuk Bersih mengambil alih peranan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dalam mengendalikan pemilihan parti yang sedang diadakan.

Presiden PKR itu berkata, proses pengundian perlu dijalankan secara bersih dengan pemantauan berkesan dan ia tidak boleh lewat daripada tempoh ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

“Cadangan itu mungkin boleh dipertimbangkan, tapi tak semudah itu sebab proses dah berjalan.

“Kita akan cuba putuskan (dalam mesyuarat Biro Politik) malam ini,” katanya selepas Syarahan Negarawan di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Wanita PKR, Haniza Talha mencadangkan JPP diganti dengan badan bebas seperti Bersih untuk mengendalikan pemilihan parti yang menyaksikan kekecohan tercetus ketika proses pengundian berlangsung di Kedah dan Pulau Pinang, hujung minggu lalu.

Susulan itu, proses pengundian bagi pemilihan PKR di Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka ditangguh ke tarikh lain yang akan ditentukan kemudian.

Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari dilaporkan berkata, pihaknya belum menerima permintaan rasmi daripada PKR dan ia bergantung kepada skop kerja serta peranan yang perlu dilaksanakan mereka.

“Apa yang paling penting adalah Bersih tidak boleh dilihat melanggar batas atau campur tangan dalam hal politik dalaman parti itu sendiri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.