Anak jati Pulau Redang tak sanggup makan telur penyu

Anak jati Pulau Redang tak sanggup makan telur penyu

Ini kerana beliau percaya setiap telur penyu itu mengandungi embrio yang mampu menghasilkan 100 biji telur pada masa akan datang.

Dek sayangkan penyu, seorang renjer hutan sanggup menahan keinginannya untuk menikmati hidangan telur penyu sejak lebih 20 tahun lepas bagi memastikan populasi reptilia itu terus bertambah dan tidak diancam kepupusan.

Aziz Mustafa berkata beliau tidak sanggup berbuat demikian kerana beranggapan setiap telur penyu itu mengandungi embrio yang mampu menghasilkan 100 biji telur pada masa akan datang.

“Walaupun potensi bagi seekor anak penyu untuk hidup adalah amat rendah namun, sebiji telur itu mungkin menjadi seekor ibu penyu yang kelak menyumbang populasi lebih banyak pada masa akan datang,” katanya.

Aziz, 42, yang mesra dikenali sebagai Abang Man merupakan anak jati Pulau Redang. Antara tugasnya adalah memantau setiap pergerakan penyu yang terdapat di kawasan Santuari Penyu di Chagar Hutang, Pulau Redang yang dikendalikan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sejak 1998.

Menurutnya memakan telur penyu adalah lazim dalam kalangan sesetengah penduduk di kawasan pantai kerana mereka didedahkan dengan mitos iaitu telur penyu mempunyai pelbagai khasiat walaupun ia belum disahkan pakar dan penyelidik.

Sarang penyu

Sebelum ini, beliau sering mengikut penduduk kampung mengutip telur penyu di kawasan Chagar Hutang kerana pada masa itu, sarang dan telur penyu itu dipajakkan kerajaan kepada penduduk di pulau berkenaan.

Chagar Hutang adalah sebuah pantai terpencil di hujung utara Pulau Redang, satu daripada 3 pantai penyu bersarang di pulau itu.

Mereka mempunyai lesen yang sah untuk mengambil dan menjual telur penyu tetapi pada 2004, kesemua lesen itu tamat tempoh dan tidak lagi diperbaharui, katanya.

“Bagaimanapun pada 2005, kerajaan negeri mewartakan 5 pantai di Pulau Redang iaitu di Chagar Hutang, Pasir Bujang, Mat Kepik, Mat Simpang dan Che Keling untuk dijadikan sebagai santuari penyu.

“Sejak itu, penduduk kampung tidak lagi dibenarkan mengambil telur berkenaan di kawasan tersebut,” kata Aziz.

Langkah itu dapat meningkatkan populasi penyu dengan kajian yang dijalankan UMT menunjukkan jumlah penyu dewasa yang mendarat untuk bertelur di kawasan Chagar Hutang bertambah setiap tahun.

Pupuk kesedaran

Aziz berpendapat masyarakat perlu terus diberi penerangan dalam usaha memupuk kesedaran supaya mereka tidak lagi menggunakan alasan ‘meningkatkan kesihatan’ untuk menikmati hidangan telur penyu.

“Mungkin sukar menghalang masyarakat untuk berhenti makan telur penyu tetapi ia boleh bermula dari rumah,” katanya.

Beliau berkata perkongsian maklumat dengan masyarakat juga boleh memberi kesedaran iaitu pemuliharaan penyu sebenarnya adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan ia tidak pupus ditelan zaman.

Rakannya Hassan Alias, 63, yang mesra dengan panggilan Pak Uda, pula berkata walaupun baru 5 tahun berkhidmat di santuari penyu itu namun, pengalaman dan ilmu yang diperolehnya membangkitkan kesedaran dan rasa sayang terhadap haiwan bercengkerang itu.

“Sebelum berkhidmat sebagai renjer, saya bekerja sebagai nelayan selama 20 tahun. Pada masa itu, saya langsung tidak ambil tahu mengenai penyu.

“Hanya selepas berkhidmat di santuari ini, barulah saya berpeluang mengenali penyu dengan lebih dekat dan memahami perihal berkaitan dengannya,” katanya.

Hassan berkata selain diancam haiwan pemangsa, penyu juga menjadi mangsa perbuatan manusia hingga menyebabkan kepupusan reptilia itu.

Beliau berkata generasi baharu perlu didedahkan dan dididik mengenai pentingnya memulihara penyu kerana ia adalah antara khazanah berharga negara.

Menurutnya setiap kali menerima kunjungan pelajar sekolah ke kawasan santuari itu, beliau pasti memberitahu mereka mengenai akibat yang boleh berlaku daripada amalan memakan telur penyu.

Beliau berharap pendedahan itu dapat membantu mereka untuk memahami pentingnya memastikan populasi penyu negara ini tidak terus pupus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.