
Di bawah perjanjian dengan pendakwa raya persekutuan pada Mac lalu, Red Granite berjanji membuat bayaran pelucuthakan dalam 3 ansurans: AS$30 juta dalam 30 hari, AS$20 juta dalam 180 hari berikutnya dan baki AS$10 juta dalam 180 hari kemudian.
Bagaimanapun, syarikat itu tidak mengakui sebarang salah laku di bawah perjanjian itu.
Menurut Variety, syarikat itu membuat bayaran terakhir kira-kira 4 bulan lebih awal daripada jadual.
“Red Granite membuat bayaran penuh kepada kerajaan. Syarikat dengan senang hati melupakan perkara ini,” syarikat itu dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan.
Laporan itu turut memetik sumber industri sebagai berkata, Red Granite meminjam daripada Brevet Capital untuk membuat bayaran itu.
Sumber itu berkata, dana itu akan dikembalikan kepada kerajaan Malaysia sebaik sahaja “yuran pemprosesan tertentu” dibayar.
Tindakan pelucuthakan aset awam itu difailkan pendakwa raya AS terhadap syarikat itu pada Julai 2016 dalam usaha mendapatkan kembali lebih AS$1 bilion yang didakwa diseleweng dari 1MDB.
Jabatan Kehakiman AS mendakwa ahli perniagaan, Low Taek Jho yang lebih dikenali Jho Low, ialah dalang di sebalik pencurian AS$4.5 bilion daripada 1MDB.
Ketua Pegawai Eksekutif Red Granite, Riza Aziz yang merupakan anak tiri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dikatakan ialah kawan rapat Jho Low.
Pendakwa raya AS mendakwa wang yang diambil daripada 1MDB digunakan untuk membiayai pembikinan filem “The Wolf of Wall Street”, “Dumb and Dumber To” dan “Daddy’s Home”.
1MDB bagaimanapun berkata, tiada wang yang hilang dan menafikan sebarang salah laku.
Riza yang merupakan pengasas bersama Red Granite, disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama beberapa hari, Julai lalu.
Ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor turut disoal siasat SPRM, manakala bapa tirinya, Najib berdepan 32 pertuduhan pengubahan wang haram, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah berkaitan 1MDB.