
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, walaupun kerajaan tidak menghalang warga luar melabur dalam sektor hartanah di Malaysia, namun tumpuan khusus kepada mereka tidak memberi manfaat kepada warga tempatan.
“Apabila sebuah bandar dibina khusus untuk warga asing, bagaimanakah ia memberi manfaat kepada Malaysia dan rakyat?
“Jika bina perbandaran khusus untuk orang asing. Kerajaan tidak boleh terima ini,” katanya kepada pemberita sempena Persidangan Tahunan Pemaju Hartanah: Siri CEO di sini hari ini.
Lim berkata, tanpa mengira kewarganeraan mereka, tidak ada negara yang akan menerima pembinaan sebuah bandar khusus untuk warga asing.
“Jangan bimbang,” katanya, “kita tidak menghalang warga asing membeli hartanah kita. Lagipun projek itu adalah terbuka dan boleh dibeli oleh semua, sama ada rakyat Malaysia atau warga asing.
“Pembeli asing membeli hartanah juga bukan masalah. Kita mengalu-alukannya kerana mereka membawa masuk wang ke Malaysia.”
Beliau juga menolak dakwaan bahawa kerajaan tidak menyenangi syarikat asing, dengan berkata ia tidak benar sama sekali.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata Malaysia mengalu-alukan pelaburan asing langsung (FDI) dari mana-mana negara sekalipun selagi ia memberi manfaat manfaat benar kepada rakyat dan tidak membebankan negara.
“Kita mahu FDI bermutu tinggi masuk ke negara ini dan mencipta pekerjaan bermutu tinggi selaras dengan objektif menjana pertumbuhan bemutu yang boleh dikongsi oleh rakyat.
“Kita tidak mahukan pertumbuhan membuta tuli hanya untuk mencapai angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) tetapi tidak relevan kepada rakyat dan tidak memberi manfaat kepada mereka.
“Apa gunanya ada pertumbuhan KDNK 5.9% jika rakyat masih menderita?”
Lim berkata, walaupun mencapai pertumbuhan KDNK 5.9% tahun lepas, kerajaan sebelum ini kalah dalam pilihan raya 9 Mei kerana rakyat umum tidak mendapat manfaat daripada pertumbuhan itu.
“Oleh sebab itu kerajaan baru mahu menegaskan keutamaan kesejahteraan ekonomi rakyat. Kita mahu memastikan kemasukan FDI akan mengambil kira keperluan penduduk tempatan.
“Bila mereka adakan peluang perniagaan, maka berikan peluang itu kepada peniaga tempatan. Bila mereka menggaji pekerja, maka mereka mesti mengambil paling tidak sebahagian pekerja tempatan. Janganlah 100% pekerja yang diimport dari luar,” katanya.
Berhubung isu rumah mampu milik, Lim menggesa pemaju mengurangkan harga rumah berikutan pengecualian khidmat pembinaan daripada dikenakan cukai perkhidmatan 6%.
“Dalam sistem percukaian sebelum ini, semua dikenakan cukai, termasuk sewa.
“Sekarang, kita mahu lihat harga rumah lebih rendah. Saya harap pemaju akan memindahkan penjimatan yang diperolehi kepada pembeli, dalam bentuk harga rumah yang lebih rendah.
“Jika anda tidak berbuat demikian, mungkin saya perlu menimbangkan semula pengecualian yang diberikan,” katanya, dan menyebut bahawa kerajaan kehilangan hasil cukai yang agak banyak.
Beliau berkata, kerajaan mahu memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan harga rumah kediaman, terutama rumah berharga kurang RM400,000.
Pengerusi Institut Rehda, Jeffrey Ng berkata, institut tersebut sedang menjalankan kajian bagi menentukan kuantum penjimatan yang terhasil daripada pengecualian cukai 6% dan selepas itu memaklumkan dapatannya kepada menteri kewangan.