PKR nafi ada sabotaj dalam pemilihan parti

PKR nafi ada sabotaj dalam pemilihan parti

Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar berkata ia berpunca daripada kelemahan sistem e-undi yang pertama kali diperkenalkan untuk proses pengundian.

Sebelum ini dilaporkan pemilihan PKR menjadi hiruk-pikuk apabila terdapat aksi tumbuk menumbuk dan baling kerusi. (Gambar Bernama)
KUALA NERUS:
Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar menolak dakwaan terdapat unsur sabotaj dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Katanya, kekecohan di beberapa kawasan di Kedah dan Pulau Pinang bukan kerana faktor itu sebaliknya berpunca daripada kelemahan sistem e-undi yang pertama kali diperkenalkan untuk proses pengundian dan akan ditanggani Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dalam masa terdekat.

“Insiden ini berlaku disebabkan masalah sistem bukan kerana mereka tidak diberitahu atau berpeluang untuk mengundi, mereka datang pagi tetapi tidak dapat mengundi.

“Kalau sistem sudah dibaikki mungkin tidak ada masalah untuk teruskan dengan pengundian,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan International Union For Conservation Of Nature (IUCN) Symposium And Red List Assessment 2018 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar dan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Kelmarin, proses pemilihan PKR bagi 9 daripada 15 bahagian di Kedah terpaksa ditunda ke satu tarikh lain berikutan sistem e-undi yang pertama kali digunakan untuk membolehkan 800,000 ahlinya mengundi, mengalami masalah teknikal.

Ia mengakibatkan tercetusnya pergaduhan setelah ahli yang hadir naik berang dipercayai kerana menunggu terlalu lama.

Susulan itu, proses pemilihan parti bagi negeri Perlis yang dijadual berlangsung semalam terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain yang akan ditentukan kelak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.