Jangan hancurkan parti jika tak jadi calon, Armizan nasihat pemimpin GRS

Jangan hancurkan parti jika tak jadi calon, Armizan nasihat pemimpin GRS

Timbalan setiausaha agung GRS berkata sama ada terpilih calon atau tidak menjadi cerminan jati diri dalam perjuangan.

bendera flags GRS
Timbalan Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali, berkata jangan tidak terpilih calon hingga sanggup hancurkan perjuangan dibina sekian lama. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jangan hancurkan perjuangan parti yang dibina sekian lama jika tidak terpilih calon PRN Sabah, kata Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Armizan Mohd Ali.

Katanya, pemimpin GRS diingatkan mengetepikan kepentingan peribadi dan tidak melakukan sabotaj, sebaliknya meletakkan kepentingan parti menjadi keutamaan demi kestabilan dan kekuatan GRS.

“Jangan kerana kepentingan diri untuk menjadi calon, kita hancurkan perjuangan yang telah kita bina bersama sejak sekian lama. Saya harap semua pemimpin mempunyai rasa tanggungjawab dan kesedaran untuk memastikan perjuangan parti sentiasa menjadi keutamaan.

“Tindakan kita hari ini mencerminkan sejauh mana jati diri serta keikhlasan dalam perjuangan kita,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Pejabat Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kawang, Papar.

Beliau yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup berkata demikian ketika mengulas kemungkinan wujud tindakan sabotaj daripada mana-mana pemimpin yang tidak terpilih sebagai calon GRS pada PRN Sabah ke-17, dijadual pada 29 Nov.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 Nov, manakala pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 Nov ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.