
Tidur sememangnya penting untuk tubuh kita kerana ia adalah salah satu cara semula jadi yang paling ideal untuk berehat.
Kekurangan tidur boleh membuatkan kita resah, panik dan tertekan, malah ia boleh mengganggu rutin harian kerana rasa mengantuk dan penat pada waktu tengah hari.
Bagi mereka yang bekerja atau pelajar, kekurangan tidur dan rasa mengantuk pada waktu boleh menyebabkan mereka menjadi kurang produktiviti.
Jadi pentingnya tidur malam yang sempurna iaitu 7-8 jam sehari.
Bagaimanapun, jika anda terus rasa mengantuk pada siang hari, eloklah berjumpa dengan doktor atau pakar yang berkaitan untuk mendapatkan penyelesaian yang tepat.
Ini kerana, rasa mengantuk pada waktu siang boleh menyebabkan masalah di dalam otak atau penyakit berkaitan seperti Alzheimer di hari tua.
Saintis dari Johns Hopkins University mendapati mereka yang sering rasa mengantuk sepanjang hari, mengalami 2 kali lebih banyak pengumpulan beta-amyloid.

Untuk pengetahuan anda, beta amiloid adalah sejenis protein yang berkaitan dengan risiko penyakit Alzheimer.
Satu penyelidikan jangka panjang menggunakan data Baltimore Longitudinal Study of Aging meneliti kesihatan beribu-ribu manusia sejak 1958.
Peserta yang mengikuti penyelidikan itu mengisi kaji selidik secara bermusim, termasuk soalan mengenai kekerapan mereka tidur siang, rasa mengantuk atau amalan tidur pada siang hari.
Sejumlah 123 peserta juga menjalani ujian imbasan otak untuk mengesan plak beta-amyloid, selepas hampir 16 tahun terlibat dalam kajian.
Penyelidik juga mempertimbangkan faktor seperti jantina, umur, pendidikan, dan indeks jisim badan.
Hasilnya, risiko pengumpulan plak beta-amyloid, 2.75 kali lebih tinggi pada orang yang berasa mengantuk pada siang hari.
Ekoran itu penyelidik mengesyaki gangguan tidur atau kurang tidur sebagai penyebab utama seseorang mengantuk pada siang hari dan penyebab pembentukan plak beta-amyloid melalui mekanisme yang tidak diketahui.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh menolak kemunculan plak amiloid ketika menilai punca rasa mengantuk,” kata Adam P. Spira, ketua penyelidik.

Dalam bidang perubatan, umum mengetahui hubungan gangguan tidur dalam kalangan pesakit penyakit Alzheimer.
Ini kerana perubahan otak yang berkaitan memberi kesan negatif terhadap tidur mereka.
Tetapi, banyak kajian pada haiwan dan manusia juga membuktikan amalan tidur yang buruk sebagai punca pengumpulan jumlah beta-amyloid yang lebih besar di otak.
Kajian ini membuktikan kualiti tidur sebagai faktor risiko yang boleh diubah suai dengan mudah.
Menurut Spira, tiada ubat untuk penyakit Alzheimer jadi penyelidik harus melakukan yang terbaik untuk mengelaknya.
“Mengutamakan tidur boleh menjadi satu cara untuk membantu mencegah atau mungkin melambatkan keadaan ini,” katanya.