Ketua Umno Cheras keluar parti

Ketua Umno Cheras keluar parti

Syed Ali Alhabshee ialah pemimpin Umno ke-3 yang meninggalkan parti itu dalam masa seminggu, selepas 2 bekas menteri, Mustapa Mohamed dan Anifah Aman.

Syed Ali Alhabshee. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengumumkan keluar parti hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat tanpa dipengaruhi mana-mana pihak atau demi memenuhi agenda peribadinya.

Sebaliknya, beliau berkata, tindakan itu berlandaskan senario dan landskap politik semasa.

“Saya tidak pernah memperalatkan Umno yang saya sayangi selama ini untuk mengejar kedudukan dan jawatan, sama ada dalam parti mahupun kerajaan.

“Persekitaran Malaysia baru memerlukan pendekatan yang lebih realistik dan berpijak di bumi nyata,” demikian menurut kenyataan yang dimuat naik ke Facebooknya.

Bekas setiausaha Umno Wilayah Persekutuan itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada beliau akan menyertai parti lain.

“Masa akan menentukan, saya pun baru keluar daripada Umno,” katanya ringkas ketika dihubungi FMT.

Syed Ali ialah pemimpin ke-3 yang bertindak meninggalkan Umno dalam masa seminggu, selepas Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman berbuat demikian pada Selasa serta Rabu lalu.

Umno kini hanya mempunyai 49 kerusi Parlimen, selepas 5 ahli Parlimennya meninggalkan parti itu yang mengalami kekalahan mengejut pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Lima wakil rakyat itu adalah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Noor Azmi Ghazali, Mustapa dan Anifah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.