Lantikan politik dalam perkhidmatan awam wajar ditamatkan, kata bekas KSN

Lantikan politik dalam perkhidmatan awam wajar ditamatkan, kata bekas KSN

Ahmad Sarji bersetuju dengan langkah kerajaan memecat duta dan pesuruhjaya tinggi Malaysia yang dilantik dalam kalangan ahli politik.

Ahmad Sarji (dua dari kiri) berkata, pegawai kerajaan mestilah neutral dan tidak melibatkan diri dalam kegiatan politik kepartian.
KUALA LUMPUR:
Bekas ketua setiausaha negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid bersetuju amalan pelantikan politik dalam perkhidmatan awam hendaklah dihentikan serta merta.

Beliau juga bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathi Mohamad baru-baru ini memecat serta merta duta dan pesuruhjaya tinggi Malaysia ke luar negara yang dilantik dalam kalangan ahli politik oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Saya percaya ada sebabnya kerajaan sekarang bertindak demikian, mungkin ia mendapati mereka yang dilantik tidak mempunyai kerja yang khusus atau kehadiran mereka memudaratkan integriti penjawat awam keseluruhanya,” katanya kepada FMT ketika ditemui pada Program Nestle Omega Plus Walk A Mile 2018 di Taman Tasik Perdana hari ini.

Ahmad Sarji merupakan ketua setiausaha negara ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir sekitar 1990-an.

Jumaat lalu, media melaporkan beberapa orang duta dan pesuruhjaya tinggi Malaysia ke luar negara yang dilantik dalam kalangan orang politik sebelum ini akan ditamatkan perkhidmatan serta-merta.

Dr Mahathir berkata, keputusan itu bertujuan memastikan amalan lantikan politik sebelum ini tidak diwarisi dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Katanya, kerajaan hanya akan melantik duta dan pesuruhjaya tinggi Malaysia dalam kalangan pegawai yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, Ahmad Sarji yang kini merupakan presiden Yayasan Jantung Malaysia berkata, beliau juga menyokong langkah kerajaan menggubal satu akta berkaitan perkhidmatan awam bagi menambah baik proses kenaikan pangkat pegawai dalam kumpulan pengurusan tertinggi.

“Proses kenaikan pangkat seharusnya lebih telus menggunakan kriteria yang lebih objektif,” katanya.

Beliau juga menyokong langkah kerajaan menukar status Biro Pengaduan Awam (BPA) kepada Ombudsman Malaysia.

Katanya, cadangan itu pernah dikemukakan ketika beliau masih berkhidmat dahulu.

“Ini cadangan baik. Jika kita lihat negara seperti Sweden, New Zealand dan Australia sudah ada.

“Dengan adanya biro itu, rungutan orang ramai mengenai perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta atau korporat dapat ditangani dengan lebih berkesan,” katanya

Ahmad Sarji berkata pegawai kerajaan juga mestilah neutral dari segi kelakuan dan tatatertib mereka, serta tidak melibatkan diri dalam kegiatan politik kepartian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.