
Menterinya Lim Guan Eng berkata kadar caj perkhidmatan di restoran dan kedai makanan sebanyak 10% adalah agak tinggi.
Katanya kerajaan sekarang sudah memberikan banyak kelonggaran kepada mereka dan diharapkan mereka akan dapat mengurangkan kadar caj perkhidmatan itu.
“Saya berharap para pengendali restoran dan kedai makanan dapar meneliti semula kutipan caj perkhidmatan mereka sebanyak 10% kerana saya berpendapat kadar itu agak tinggi dan membebankan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Pesta Tanglung di Bukit Bendera di sini semalam.
Lim berkata beliau faham akan kutipan caj perkhidmatan itu adalah bagi menampung bayaran gaji pekerja restoran dan kedai berkenaan tetapi kadar itu patut dikurangkan.
Katanya, kerajaan banyak memberi kelonggaran seperti menaikan nilai ambang ke RM1.5 juta ke atas kedai makanan dan minuman, pengecualian cukai terhadap penjualan rokok di bawah nilai ambang RM500,000 dan pengecualian cukai kepada penyewaan warung kecil di kedai makanan.
“Saya ingin membuat secara baik-baik dan memohon agar para pengendali restoran dan kedai makanan dan minuman akan meneliti semula caj perkhidmatan mereka demi kebaikan semua pihak,” katanya.
Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih mengakui pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ada menyebabkan kenaikkan harga barang tetapi tidak naik setinggi pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Beliau yang mengulas berkata jumlah kutipan SST setahun ialah RM21 bilion, manakala jumlah kutipan GST sebanyak RM44 bilion jelas menunjukkan GST lebih membebankan rakyat.
“Impak sebenar pelaksanaan dan kebaikan SST berbanding GST akan diketahui setahun lagi,” katanya.
Lim berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa Lim akhirnya mengakui pelaksanaan SST menyebabkan kenaikkan harga barang.