
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki berkata kuasa untuk menentukan tahanan SPRM dipakaikan baju oren atau digari diputuskan oleh pegawai yang menjalankan tangkapan dalam sesuatu kes.
“Soalan tahanan pakai baju oren atau tidak, ramai yang bertanya tetapi saya ingin katakan ramai juga (tahanan) yang dipakaikan baju oren.
“Dia (pegawai penyiasatan) melihat aspek tertentu, dan yang selalu dilihat kebiasaanya sama ada orang itu berkemungkinan mendatangkan apa-apa kemudaratan. Sekiranya tidak datangkan kemudaratan, maka tak perlu pakai baju oren atau bergari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika banyak pihak mempersoalkan kenapa Najib tidak dipakaikan baju oren tahanan ketika ditahan SPRM dan dibawa ke mahkamah.
Azam berkata, banyak juga kes yang melibatkan ahli politik lain yang tidak digari semasa ditahan SPRM.
Beliau juga berkata SPRM melihat 2 aspek untuk menentukan sama ada perlu atau tidak seseorang individu yang ditahan memakai baju oren dan digari pada masa-masa akan datang.
Pada 20 September lalu, Najib Razak dikenakan 25 pertuduhan baru di Mahkamah Sesyen berhubung dakwaan pemindahan wang berjumlah ratusan juta dolar AS ke akaun bank miliknya daripada dana 1MDB.
Najib didakwa dengan 21 pertuduhan pengubahan wang ke akaun bank miliknya dan kemudian menggunakannya.
Beliau dikatakan menerima dan menggunakan wang tersebut semasa tempoh memegang jawatan perdana menteri antara 2011 dan 2014.
Dia juga dituduh menyalahgunakan kuasa dalam 4 lagi pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada Julai, Najib dituduh dengan 3 pertuduhan pecah amanah berhubung pemindahan RM42 juta ke akaun bank miliknya daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.
Kes Lim Guan Eng dibebaskan mahkamah
Dalam pada itu, Azam menegaskan kes Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang ditarik balik adalah atas kehendak peguam negera dan merupakan keputusan mahkamah, bukannya dalam bidang kuasa SPRM.
Katanya, penarikan balik kes seseorang yang disiasat SPRM bukan pertama kali berlaku di negara ini dan tidak disebabkan status beliau sebagai ahli politik pembangkang atau sebaliknya.
“Kena lihat fakta dan kita tidak ada kuasa untuk siasat kes yang telah ditarik balik oleh pendakwaraya,” katanya.
SPRM nafi panggil Tok Pa
Azam juga menafikan dakwaan badan itu memanggil Datuk Seri Mustapha Mohamed untuk dirakam percakapan.
“SPRM tidak pernah panggil beliau (Mustapha),” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa Ahli Parlimem Jeli itu dipanggil oleh SPRM berhubung dana diterima untuk kegunaan parti.