Tok Pa tahu Umno parti rosak, sukar dipulihkan, kata Muhyiddin

Tok Pa tahu Umno parti rosak, sukar dipulihkan, kata Muhyiddin

Kerosakan yang dilakukan bekas Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya membuka pintu hati pemimpin Umno untuk meninggalkan parti itu.

Muhyiddin berkata, walaupun tindakan Mustapa keluar Umno agak lewat, tetapi ia belum terlambat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Keputusan Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan Umno tidak memeranjatkan, kata Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata Ahli Parlimen Jeli itu tahu Umno sudah menjadi sebuah parti yang rosak dan sukar dipulihkan.

Tambahnya, kerosakan yang telah dilakukan bekas Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya membuka pintu hati pemimpin Umno untuk meninggalkan parti itu.

“Walaupun tindakan yang diambil agak lewat tetapi ia belum terlambat. Saya percaya sebagai seorang yang berpengalaman dalam politik, Datuk Seri Mustapa telah memikirkan secara mendalam tindakannya untuk meninggalkan Umno. Tindakan beliau adalah tepat dan wajar,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri turut berharap Mustapa yang lebih dikenali sebagai Tok pa akan terus menyumbang khidmat baktinya kepada negara.

Mustapa mengumumkan keluar Umno Selasa lalu selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu susulan hala tuju Umno kini tidak selari dengan perjuangannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.