
Hukuman mati ke atas Mo Huanjing disemak dan diluluskan oleh mahkamah tertinggi negara itu, Mahkamah Agung Rakyat, menurut Mahkamah Pertengahan Rakyat Hangzhou.
Agensi berita Xinhua melaporkan, sebelum pelaksanaan hukuman, mahkamah Hangzhou memberitahu keluarga Mo tentang hak untuk bertemu beliau buat kali terakhir, tetapi mereka menolaknya.
“Niat perbuatan Mo adalah keji, ganas dan berbahaya kepada orang lain. Akibat jenayah itu sangat buruk dan mengancam keselamatan awam,” kata mahkamah tertinggi negara itu.
“Bukti yang dikemukakan adalah sah dan mencukupi, dan hukuman yang dijatuhkan sesuai,” katanya lagi.
Mo merupakan kaki judi dan banyak berhutang. Beliau mula bekerja dengan keluarga Zhu Xiaozhen dan Lin Shengbin pada September 2016.
Dari Mac hingga Jun 2017, beliau mencuri barang kemas dan jam daripada keluarga itu dan meminjam wang Zhu, tetapi menghabiskannya dengan berjudi.
Pada 21 Jun 2017, dalam usahanya mendapatkan kepercayaan Zhu, Mo memulakan kebakaran dan cuba memadamkannya, tetapi api merebak pantas menyebabkan Zhu dan 3 anaknya maut kerana keracunan karbon monoksida.
Mo juga disabitkan kesalahan mencuri.