Dua lagi maut akibat keracunan alkohol di Selangor

Dua lagi maut akibat keracunan alkohol di Selangor

Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor berkata 2 kematian baru melibatkan warga Nepal dan Myanmar menjadikan jumlah kematian 22 orang.

Seramai 22 lagi mangsa masih menerima rawatan manakala 14 telah dibenarkan keluar hospital. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Jumlah mangsa yang maut akibat keracunan alkohol di sekitar Selangor meningkat kepada 22 orang setakat 8 pagi ini berbanding 20 mangsa semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata 2 kematian baru itu melibatkan warga Nepal dan Myanmar yang masing-masing berusia dalam lingkungan 30-an.

Ini menjadikan kematian setakat ini melibatkan 2 rakyat Malaysia, 2 warga Bangladesh, 6 rakyat Nepal, 10 dari Myanmar, seorang warga India serta seorang individu yang tidak diketahui identitinya.

Katanya seramai 22 lagi mangsa masih menerima rawatan manakala 14 telah dibenarkan keluar hospital.

Kesemua mereka merangkumi 2 warga tempatan, seorang warga Myanmar, warga Nepal (23), warga Bangladesh (9) dan seorang warga India, katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mazlan berkata setakat ini, polis merekodkan 58 mangsa keracunan alkohol di Selangor, termasuk yang maut.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 14 kes baru keracunan alkohol dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Perak setakat tengah hari semalam.

Sejak Isnin lalu, lebih 20 orang terdiri daripada warga asing dan tempatan meninggal dunia dan berpuluh lagi dirawat di hospital di sekitar Lembah Klang dan Perak akibat keracunan alkohol.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.