
Ketua Penerangan PPBM Datuk Kamaruddin Md Noor berkata kenyataan itu merupakan satu tindakan terdesak yang dibuat ahli parlimen tersebut bagi menyelamatkan Umno ketika ini.
“Nampaknya Umno sedang mencari ‘tali hayat’ untuk menjadi relevan kepada pengundi mereka.
“Dengan perkembangan terbaru di mana pemimpin-pemimpin mereka seorang demi seorang hilang kepercayaan dan keyakinan kepada pada parti mereka, tunggu masa sahaja Umno akan tinggal nama sahaja,” katanya kepada FMT.
Umno kini terpalit kontroversi apabila 2 pemimpin tertinggi dan terkanan mereka bertindak keluar parti.
Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar Umno Selasa lalu, manakala Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman membuat tindakan yang sama kurang tempoh 24 jam Mustapa berbuat demikian.
Semalam, Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin mendakwa Umno dan PPBM ada berbincang mengenai penggabungan dan perbincangan itu sudah berjalan sejak 2-3 bulan lalu.
Zahidi berkata perbincangan itu diadakan demi bangsa Melayu.
“Kalau boleh pakat dengan PPBM dapat balik bersama kerajaan,” katanya.
Zahidi bagaimanapun enggan memberikan butiran rancangan mahupun perbincangan itu, tetapi berkata wakil-wakil rakyat BN ada membincangkan tentang cara pakatan itu.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi PPBM Tariq Ismail berkata PPBM tidak pernah sesekali berhasrat untuk bergabung dengan Umno dalam apa keadaan sekalipun.
Sambil “menasihati” Zahidi, Tariq berkata mana-mana ahli Umno yang berhasrat untuk menyertai PPBM, jalan terbaik adalah keluar daripada Umno terlebih dahulu.
“Kita nak yang jernih dan bukan yang keroh dan kalau YB Padang Besar sayang Umno dan rakyat Padang Besar yang beri amanah kepada beliau, dia tidak akan keluar cerita macam ini.
“Jika kamu nak masuk PPBM, keluar daripada Umno, jadi bebas dan biarlah pemimpin PPBM menilai kelayakan kamu,” katanya.