Polis: Najib berdepan 21 pertuduhan

Polis: Najib berdepan 21 pertuduhan

9 pertuduhan melibatkan penerimaan wang haram, 5 pertuduhan penggunaan wang haram dan 7 pertuduhan melibatkan pemindahan wang haram ke entiti lain.

Najib Razak sebelum ini didakwa atas 7 pertuduhan.
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata sebanyak 21 pertuduhan disediakan ke atas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak melibatkan RM2.6 billion yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Beliau berkata, 9 pertuduhan melibatkan penerimaan wang haram dan 5 pertuduhan melibatkan penggunaan wang haram.

“7 pertuduhan lagi melibatkan pemindahan wang haram ke entiti lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noor Rashid turut mengesahkan tangkapan terhadap Najib dibuat di perkarangan pejabat Pasukan Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram, Menara KPJ, Kuala Lumpur.

Katanya, tangkapan terhadap ahli parlimen Pekan itu mendapat persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara.

“Beliau akan dikemukakan ke Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan oleh timbalan pendakwa raya di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya.

Noor Rashid berkata, tangkapan dan pertuduhan itu dilakukan dengan kerjasama pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Najib sebelum ini didakwa di mahkamah atas 7 pertuduhan.

Pada 4 Julai lepas, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap 3 pertuduhan pecah amanah dan 1 pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 8 Ogos pula, bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 3 pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam 2 akaun miliknya, 4 tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.