
Bekas presiden Umno itu berkata seluruh pemimpin parti itu perlu berani menghadapi ujian ini jika mahu mengembalikan kepercayaan rakyat.
“Dalam perjuangan ini kita kena hadapi saat-saat yang getir seperti ini sebab parti memerlukan kesetiaan kita.
“Parti perlukan komitmen kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadapi 25 pertuduhan berkaitan dana 1MDB di kompleks mahkamah Jalan Duta hari ini.
Diminta mengulas pemergian Datuk Seri Mustapa Mohamed dari parti itu, Najib berkata dia perlu menghubungi Ahli Parlimen Jeli itu sebelum memberikan apa-apa komen.
“Bila beliau cerita hal sebenar baru saya boleh buat kenyataan lanjut,” katanya.
Mustapa kelmarin mengumumkan dia meninggalkan Umno selepas 40 tahun bersama parti kerana hala tuju parti itu tidak lagi selari dengan prinsipnya.
Mustapa berkata dia tidak melihat tidak ada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula.
Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa hari ini mendedahkan bekas pemimpin kanan Umno itu disiasat polis sebelum keluar parti.
Annuar juga berkata Mustapa disiasat sejak 10 hari lalu namun enggan mendedahkan sebab siasatan itu.
“Apa yang saya boleh sahkan adalah Umno Kelantan termasuk Mustapa disiasat dan disoal selama beberapa hari berhubung sejumlah dana yang beliau terima,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.
“Namun saya tidak boleh katakan itu sebabnya dia keluar. Tidak semestinya. Tidak berani saya kata,” katanya.