
Ahli parlimen Rembau itu berkata peminjam sepatutnya tidak perlu membayar hutang PTPTN sehingga pendapatan mereka mencapai RM4,000 sebulan.
“Jangan malu tuan. Selain itu ramai orang yang disenarai hitam telah dibersihkan oleh kerajaan anda (Pakatan Harapan).
“Siapa yang keluarkan mereka dari senarai hitam? Siapa yang janji mereka hanya perlu bayar selepas gaji bulanan mencapai RM4,000 sebulan,” tulisnya di Twitter.

Khairy juga bertanyakan apa cadangan Dr Mahathir untuk meningkatkan pembayaran balik hutang PTPTN.
Dr Mahathir hari ini meluahkan perasaan malu apabila rakyat Malaysia gagal membayar hutang pengajian selepas mendapat bantuan daripada kerajaan.
Perdana menteri itu membuat teguran kepada peminjam PTPTN yang tidak bertanggungjawab dan tiada perasaan malu apabila tidak membayar hutang pengajian itu sehingga jumlahnya mencecah RM36 bilion.
PH dalam manifestonya berjanji untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam bergaji di bawah RM4,000 sebulan dan mengeluarkan nama peminjam daripada senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia.
Namun pada 31 Mei lalu, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, pihak kementerian memerlukan sedikit masa lagi untuk mencari jalan terbaik termasuk mekanisme pelaksanaan bagi menunaikan janji berkenaan.
Terbaharu Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan menggalakkan semua peminjam yang sepatutnya membuat bayaran balik dan masih mempunyai baki hutang PTPTN supaya mengemas kini maklumat pendapatan peminjam dalam usaha melaksanakan janji itu.