Tak boleh sokong Anwar jika Umno letak calon

Tak boleh sokong Anwar jika Umno letak calon

Tindakan boleh diambil terhadap ahli yang menyokong calon lawan memandangkan ia merupakan satu kesalahan tertakluk dalam perlembagaan parti.

Annuar Musa berkata tindakan boleh diambil terhadap mana-mana ahli yang menyokong parti lawan.
KUALA LUMPUR:
Ahli tidak dibenarkan memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya Umno meletakkan calon pada pilihan raya kecil Port Dickson, kata setiausaha agung.

Tan Sri Annuar Musa berkata tindakan boleh diambil terhadap mana-mana ahli yang menyokong calon parti lawan seperti yang dinyatakan perlembagaan parti.

“Kalau parti sudah buat keputusan untuk meletakkan calon bertanding di PRK Port Dickson, kemudian kita berkempen untuk calon lawan parti, maka itu salah.

“Apabila sudah umum calon, maka tidak boleh kerana sudah menjadi peraturan parti,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat biro politik Umno di ibu pejabat parti hari ini.

Sebelum ini bekas menteri Umno Datuk Seri Nazri Aziz menyokong cubaan Anwar untuk kembali ke Parlimen sementara Tan Sri Shahidan Kassim pula berkata Umno lebih mengenali Anwar berbanding pemimpin Pakatan Harapan lain.

Ditanya mengenai kenyataan Nazri dan Shahidan, Annuar berkata Umno menganggapnya sebagai kenyataan peribadi dan berkata menyuarakan pandangan bukan suatu kesalahan.

“Sekadar hendak nyatakan hasrat tidak salah. Setiap orang ada tarikan, hubungan dan sebagainya,” katanya.

Beliau menambah tiada ahli Umno menyalahi perlembagaan parti kerana parti belum membuat keputusan untuk bertanding.

“Lainlah kalau parti sudah buat keputusan,” katanya.

Annuar menjelaskan Umno menunggu kepulangan Pengerusi Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dari luar negara untuk memutuskan perkara itu.

“Beliau ketika ini sedang bercuti dan akan balik pada 23 September. Pada 24 September depan, 3.00 petang, kita akan adakan mesyuarat dan isu ini akan diputuskan dalam mesyuarat berkenaan,” katanya.

Annuar berkata Umno sudah mengambil pandangan pimpinan akar umbi dan ahli-ahli Parlimen dan maklum balas mereka akan dibentangkan di mesyuarat itu.

“Lita akan maklumkan apabila sudah buat keputusan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.