
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata dengan peletakan jawatan itu penggantungannya yang diumumkan sebelum ini berakhir.
Bagaimanapun, penyiasatan forensik yang dinyatakan dalam kenyataan FGV daripada lembaga pengarah pada 28 Ogos akan diteruskan, katanya.
Siasatan yang dimulakan pada akhir 2017 untuk melihat pelbagai transaksi yang menyebabkan FGV terdedah kepada kerugian besar dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.
FGV juga memberi jaminan perniagaan kumpulan akan diteruskan seperti biasa.
“Seperti yang diumumkan sebelum ini, jawatankuasa lembaga khas 2 yang terdiri daripada 4 pengarah FGV, iaitu Pengerusi Datuk Azhar Abdul Hamid, Datuk Salmiah Ahmad, Mohamed Nazeeb P Alithambi dan Datin Hoi Lai Ping akan terus melaksanakan fungsi presiden dan CEO Kumpulan FGV,” katanya.
Zakaria digantung tugas untuk kali kedua pada Khamis lepas.
FGV menjelaskan penggantungan itu berikutan berakhirnya siasatan dalaman mengenai 10 isu kritikal yang mengakibatkan kerugian kewangan bagi FGV dan pemegang saham.