
“Hala tuju yang diambil Umno pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangan saya selama ini dan tidak ada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula,” katanya dalam kenyataan.
Ini merupakan kali pertama seorang pemimpin tertinggi dan terkanan Umno keluar parti itu pasca PRU14.
Peletakan keahlian ini ditengah-tengah hubungan lebih baik antara Umno dan PAS pasca kekalahan teruk pada pilihan raya umum 9 Mei lepas.
Kedua-dua parti itu, seteru ketat sejak 1970-an, sedang mempertimbangkan suatu bentuk kerjasama untuk pilihan raya umum ke-15.
Ahli majlis pimpinan Umno dan pengerusi Barisan Nasional Kelantan itu berkata Umno seharusnya menjadi parti yang “inklusif, moderat dan berhaluan tengah”, memperjuangkan kepentingan Bumiputera dan Islam, namun “tanpa sesekali mengetepikan kepentingan kaum dan agama lain”.
“Inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk,” katanya.
“Untuk menjadi relevan dalam dinamika politik nasional hari ini, Umno selaku peneraju BN tidak boleh bergantung kepada sokongan orang-orang Melayu dan Bumiputera semata-mata.”
Namun usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar berdasarkan perkembangan mutakhir ini.
“Tidak ada tanda-tanda bahawa majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali meyakini perjuangan parti ini,” katanya.
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri ini berkata dia akan terus menyumbang buah fikiran untuk pembangunan negara dan mengharapkan budaya politik lebih matang dan inklusif, “di samping meletakkan tadbir urus serta integriti sebagai keutamaan”.
“Sudah tiba masanya semua pihak tanpa mengira fahaman politik dapat mencari satu titik persamaan demi kepentingan rakyat. Kepada Allah jua kita berserah,” katanya.