
Rashid berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan dalaman terhadap semua petugas JPP dan menegaskan setakat ini tidak ada sebarang penglibatan dari kakitangan dan petugas JPP Pusat.
“Kami nyatakan dengan tegas di sini, bahawa setakat ini tidak ada sebarang penglibatan dari kakitangan dan petugas sekretariat JPP Pusat yang terlibat dalam aktiviti melanggar peraturan dan pemilihan parti.
“JPP akan meneruskan pemantauan terhadap semua petugas JPP yang terlibat dalam mengendalikan proses pengundian yang akan bermula hujung minggu ini, sehingga 28 Oktober 2018,” katanya di ibu pejabat PKR, hari ini.
Tambahnya, JPP terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak demi memastikan proses pemilihan parti 2018 berjalan dengan penuh integriti, telus dan mengikut peraturan dan tatacara ditetapkan.
“Kami alu-alukan tindakan pantas dan berani SPRM Kedah menangani isu yang berkaitan. Inilah Malaysia Baharu dan kita mesti memartabatkannya,” katanya.
Dilaporkan 2 ahli PKR ditahan reman selama 6 hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan politik wang dalam pencalonan ketua cabang PKR di negeri itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang berkaitan dengan perbuatan meminta, menerima dan bersetuju menerima suapan rasuah sebagai dorongan atau ganjaran.
Tahanan reman 2 individu tersebut berikutan tangkapan dibuat SPRM. Difahamkan suspek pertama berusia 48 tahun ditahan di sebuah restoran di Alor Setar pada 12.20 tengah hari, sementara suspek kedua ditangkap pada 3.25 petang di Pendang.
Menurut sumber, 2 lelaki itu dipercayai meminta RM20,000 daripada seorang lelaki lain sebagai suapan supaya namanya, yang disenaraikan sebagai calon pemilihan parti, dikekalkan di dalam sistem bagi melayakkannya bertanding.
Bagaimanapun, Rashid memberitahu pemilihan PKR di Kedah tidak akan terjejas dan memaklumkan sudah mempunyai pengganti, bagi menggantikan 2 ahli yang ditahan, bahkan penggantinya itu sudah menjalankan tugas.
Rashid turut memaklumkan tarikh pengundian bagi peringkat majlis pimpinan pusat dan cabang akan bermula pada 22 September hingga 28 Oktober depan.
“Pada Sabtu ini, pemilihan akan berlangsung di Pulau Pinang dan Kedah. Manakala pada Ahad, pemilihan di Perlis dan Perak, untuk Selangor pula akan berlangsung sebanyak 3 kali iaitu pada 13, 14 dan 21 Oktober.”