
Beliau menjawab pandangan sesetengah pihak mengatakan pilihan raya kecil Port Dickson seperti Langkah Kajang yang dijalankan sekumpulan pemimpin PKR tertentu pada 2014.
“Semua ini ‘water under the bridge’. Isu yang berbangkit sebelum ini sudah tidak lagi relevan. Sekarang ini, realitinya, kita harus mobilisasi bagi memastikan kemenangan cemerlang untuk Anwar,” katanya.
Tian juga “tidak percaya” PKR perlu mengadakan satu lagi pilihan raya kecil sekiranya Anwar tewas di Port Dickson.
“Kita akan menang PRK Port Dickson. Saya tidak mahu layan kerana saya yakin Anwar akan menang. 110%,” katanya, dan menambah parti pembangkang tidak cukup kuat untuk berdepan Pakatan Harapan secara bersendirian.
“Saya yakin Port Dickson ini berbeza dengan PRK yang lain dan mempunyai makna tersendiri. Kalau PH boleh berusaha bersama, saya percaya akan menang dengan cemerlang,” tambahnya.
PKR melancarkan Langkah Kajang bagi menggantikan menteri besar Selangor ketika itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Langkah Kajang bagaimanapun gagal mencapai matlamat itu apabila Anwar dihadapkan ke mahkamah dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipilih Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, untuk menggantikan Khalid.
Langkah itu juga menyaksikan krisis yang berlarutan dari Julai hingga September, bantahan daripada PAS, percakaran antara PKR dengan Istana Selangor, pemecatan Khalid sebagai ahli PKR, dan pengedaran dokumen yang mempersoalkan integriti Khalid.
Saman Khalid berhubung pengedaran dokumen itu dilapor selesai selepas menerima permohonan maaf daripada Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2015.