Umno-BN perlu tanding di Port Dickson, kata Khairy

Umno-BN perlu tanding di Port Dickson, kata Khairy

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, Umno dan BN perlu menentang hak politik yang memalukan ini.

Khairy Jamaluddin berkata, pertabalan untuk raja-raja, tetapi Anwar bukannya raja.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menggesa Umno dan Barisan Nasional bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata demikian susulan gesaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun yang pembangkang tidak perlu bertanding di Port Dickson untuk memberi kemenangan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Aminuddin, Adun Sikamat dipetik NST Online sebagai berkata, pembangkang perlu memberi laluan kepada Anwar kerana presiden PKR itu ialah calon Pakatan Harapan yang akan menjadi perdana menteri ke-8.

“PD bukan kerusi yang mudah dimenangi, tetapi kita perlu menentang hak politik yang memalukan ini.

“Pertabalan untuk raja-raja, tetapi Anwar bukan (raja),” tulisnya dalam Twitter.

PAS dilaporkan sedia memberi laluan kepada Umno di Port Dickson untuk memastikan pertandingan 1 lawan 1 dan MIC yang bertanding secara tradisi di kerusi itu juga tidak akan menurunkan calon.

Jadi, Umno mungkin satu-satunya parti pembangkang yang akan bertanding di kerusi Parlimen itu.

Aktivis dan peguam, Siti Kasim yang mengkritik tindakan Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson untuk Anwar berkata, kenyataan Aminuddin satu “penghinaan” terhadap demokrasi.

“Saya tidak tahu sama ada mahu ketawa atau menangis membaca komennya. Nampaknya orang-orang yang berkuasa hidup di pulau bersendirian, syiok sendiri.

“Saya tertanya-tanya jika rakyat tahu raksasa apa yang kita pilih dalam PKR. Saya tidak pernah dengar kerajaan terdahulu kata perkara seperti ini. Adakah kerajaan sekarang tidak tahu realiti?”

Katanya, beliau “sangat kecewa” dengan kenyataan Aminuddin dan ia “semakin teruk” dengan “geng PKR”.

Sebelum ini, Siti membantah pencalonan Anwar di Port Dickson dengan menggesa rakyat tidak mengundinya untuk memberi pengajaran kepada keluarganya dan PKR kerana ini kali ke-3 PRK diadakan khas untuknya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah tidak bersetuju dengan kenyataan Aminuddin dan menggalakkan pertandingan dalam pilihan raya kerana ia baik untuk demokrasi.

Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 berkata, tiada alasan untuk menghalang demokrasi dengan gesaan sedemikian.

“Biar pembangkang buat keputusan untuk bertanding dan biar rakyat tentukan,” kata pemangku pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.