
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Samsor Maarof berkata kedua-dua suspek dibenarkan disambung reman oleh Mahkamah Majistret Selayang.
Ketika dihubungi Bernama, beliau berkata, suspek direman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Khamis lalu, polis mendedahkan gambar 3 suspek berkenaan yang dikehendaki kerana melakukan penganiayaan dan membunuh haiwan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Dua suspek berusia 26 dan 40 tahun ditahan Jumaat lalu di 2 lokasi di Gombak, manakala seorang lagi masih bebas dan diburu polis.
Sebelum ini, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan kejam 2 individu yang membunuh seekor kucing bunting dengan cara memasukkannya ke dalam mesin mengering pakaian di sebuah pusat dobi layan diri di Taman Gombak Ria, di sini.
Perbuatan kejam tersebut seterusnya tersebar di media sosial dan menerima kecaman masyarakat sebelum Persatuan Haiwan Malaysia bertindak membuat laporan kepada polis.