Jadikan Saidina Ali inspirasi tuntut ilmu, Anwar nasihat orang muda

Jadikan Saidina Ali inspirasi tuntut ilmu, Anwar nasihat orang muda

Presiden PKR itu berkata, golongan muda perlu mempunyai ilmu dan perjuangan lebih jelas, jika mahu melihat perubahan berlaku dalam negara ini.

Anwar Ibrahim menyampaikan pidato dalam Majlis Makan Malam Kiambang Bertaut Pidato Malaysia Baru “Mengisi Harapan Rakyat” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, malam ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan golongan muda menjadikan keperibadian tokoh Islam terdahulu sebagai inspirasi dalam menuntut ilmu.

Katanya, golongan muda perlu mempunyai ilmu dan perjuangan lebih jelas, jika mahu melihat perubahan berlaku dalam negara ini.

“Contohi Saidina Ali, beliau mencintai ilmu, sesuatu yang lazat dan mengasyikkan. Bukan untuk meletakkan dirinya sebagai seorang yang intelek, tetapi kerana ilmu itu sangat mengasyikkan dirinya.

“Sekarang ini, ramai yang tidak mempedulikan ilmu. Jika benar-benar mahukan perubahan, kena siapkan diri dengan keyakinan dan ilmu, barulah matlamatnya lebih jelas,” katanya berucap dalam Majlis Makan Malam dan Pidato Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, malam ini.

Ketua umum Pakatan Harapan itu berkata, beliau banyak memberi peluang kepada orang muda untuk memimpin dan memperjuangkan isu rakyat.

“Saya selalu beritahu mereka, ingatlah rakyat yang selalu mendukung dan menyokong kita selama ini.”

Sementara itu, Anwar berkata, gerakan reformasi diterima masyarakat kerana matlamatnya menolak pemimpin yang rosak akhlak.

“Menolak kezaliman, keangkuhan, rasuah dan kebobrokan sistem dapat menarik rakyat negara ini kepada tumpuan reformasi.”

Katanya, perubahan kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14 lalu tidak boleh diakhiri dengan kejatuhan kerajaan semata-mata, sebaliknya lebih ramai pemimpin elit yang mempunyai akhlak jitu perlu dilahirkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.