Hanya yang kurang arif besarkan isu ‘anak-beranak’ Anwar, kata Mujahid

Hanya yang kurang arif besarkan isu ‘anak-beranak’ Anwar, kata Mujahid

Berbanding perjalanan politik Anwar, isu anak-beranak terlalu kerdil untuk diberikan perhatian.

Mujahid berkata sudah tiba masanya keputusan Anwar kembali ke kancah politik disambut baik memandangkan khidmatnya amat diperlukan.
PETALING JAYA:
Naib Presiden Amanah Datuk Mujahid Yusof Rawa mempertahankan keputusan pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali semula ke kancah persada politik negara melalui pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

Mujahid berkata, hanya mereka yang kurang arif mengenai perjalanan politik Anwar sahaja akan membesarkan isu politik anak-beranak memandangan isu “keluarga” ini dilihat terlalu kecil untuk diberikan perhatian.

“Suara yang mempertikaikan keputusan Anwar bertanding di Port Dicskon dan mengapa bukan di tempat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Pandan tidak melihat susur galur perjalanan politik Anwar.

“Tanggapan kononnnya Anwar akan mewarnai politik anak-anak beranak terlalu awal untuk diberikan ulasan kerana berbanding perjalanan politiknya, isu anak-beranak terlalu kerdil untuk diberikan perhatian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, peguam Datuk Ambiga Sreenevasan memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) supaya berhati-hati dengan amalan nepotisme berikutan PRK Parlimen Port Dickson yang diadakan semata-mata bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Parlimen.

Bahkan, sebaik sahaja Anwar diumumkan bakal bertanding di kerusi Parlimen tersebut, aktivis Siti Zabedah Kasim menggesa pengundi supaya tidak mengundi beliau dan membiarkan pembangkang memenangi pilihan raya kecil tersebut.

Siti Kasim berkata, PKR dan keluarga Anwar mesti “diberi pengajaran” kerana ini kali ketiga mereka terlibat dalam pilihan raya yang disenagajakan bagi memberi laluan kepada pemimpin utama PKR itu.

Mujahid bagaimanapun berkata, sudah tiba masanya keputusan Anwar untuk kembali ke kancah politik disambut baik memandangkan khidmatnya amat diperlukan dalam membentuk Malaysia baru serta disokong Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Amanah turut menyatakan sokongan padu dan akan membantu semaksimum mungkin melalui presiden, Mohamad Sabu manakala DAP berjanji memenangkan Anwar di Port Dickson semasa pilihan raya kecil nanti,” katanya.

Rabu minggu lalu PKR mengumumkan Anwar bertanding di Parlimen Port Dickson selepas kerusi itu dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi membuka laluan kepada beliau kembali ke Parlimen.

Bagaimanapun Wan Azizah dilaporkan berkata, tidak timbul isu nepotisme membabitkan keluarganya kerana mereka semua dipilih oleh rakyat. Anwar merupakan pilihan pertama gabungan itu untuk jawatan perdana menteri.

Kali terakhir Anwar bertanding ialah dalam pilihan raya ke-13 di kerusi Parlimen Permatang Pauh. Beliau kemudiannya menjalani hukuman penjara apabila Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan sabitan bagi kesalahan liwat.

Anwar diberi pengampunan Diraja sejurus selepas PH membentuk kerajaan pada 9 Mei, membolehkan beliau kembali aktif berpolitik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.