Keselamatan pantai timur Sabah perlu tindakan proaktif, kata Azmin

Keselamatan pantai timur Sabah perlu tindakan proaktif, kata Azmin

Kes penculikan baru-baru ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan rakyat tetapi boleh membantutkan ekonomi negeri.

Azmin berjanji berbincang dengan pihak bertanggungjawab, termasuk KDN supaya tindakan lebih proaktif disegerakan.
PENAMPANG:
Badan berkaitan keselamatan di negara ini perlu menyegerakan tindakan lebih proaktif bagi menjamin keselamatan di pantai timur Sabah, khususnya di perairan pantai timur negeri.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kes seperti penculikan baru-baru ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan rakyat tetapi juga dikhuatiri akan membantutkan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Insya-Allah, saya akan berbincang dengan pihak bertanggungjawab, termasuk Kementerian Dalam Negeri dan pihak berwajib supaya disegerakan tindakan yang lebih proaktif,” katanya pada majlis makan malam muafakat PKR sempena sambutan Hari Malaysia di sini malam tadi.

Beliau yang juga timbalan presiden PKR, turut meminta anggota parti supaya mengukuhkan parti agar usaha membangunkan dan mensejahterakan rakyat di Sabah dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Semua ini (usaha membangunkan dan mensejahterakan rakyat di Sabah) akan hanya berjaya jika parti (PKR) mempunyai kepimpinan yang kuat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.