
Beliau berkata ketiga-tiga aspek berkenaan perlu diberi perhatian segera selaras dengan komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan untuk membawa kesaksamaan pembangunan kepada semua negeri di negara ini, termasuk Sabah dan Sarawak.
Katanya isu besar yang turut perlu diberi perhatian segera di Sabah ialah soal keselamatan memandangkan ia berkait secara langsung dengan pembangunan ekonomi Sabah terutama sektor pelancongan.
“Kita akan lihat perkara ini secara menyeluruh dan kita akan teruskan kerjasama dengan kerajaan negeri Sabah untuk memastikan hak rakyat Sabah terbela dan pembangunan di negeri ini dapat diteruskan demi kemakmuran Sabah dan rakyat Sabah,” katanya.
Azmin berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di Kepayan di sini semalam.
Sebelum itu, beliau turut diberi taklimat berkenaan pembangunan Sabah oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri sebelum melawat projek naik taraf jalan raya di Jalan Bypass Penampang.
Mengenai kebimbangan sesetengah pihak mengenai kemungkinan PKR dicemari unsur nepotisme berikutan perkembangan terbaru dalam parti itu khususnya kemunculan secara aktif Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam arena politik negara, Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata fokus parti itu sekarang ialah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson.
Katanya kerusi berkenaan amat penting bukan sahaja untuk dipertahankan malah parti itu akan bekerja keras bagi memperoleh majoriti undi lebih baik berbanding pilihan raya umum lalu untuk meneruskan mandat yang diberi rakyat pada pilihan raya umum Mei lepas.