
Bersempena dengan sambutan Halloween, kerajaan negeri berhasrat untuk menarik kira-kira 3,000 pengunjung ke pesta Halloween terbesar negeri di The Top Pulau Pinang atau Menara Komtar pada 27 Okt depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan & Kesenian negeri Yeoh Soon Hin berkata beliau mengalu-alukan sebarang cadangan selaras dengan usaha kerajaan negeri bagi memacu ikon dan mercu tanda Pulau Pinang itu.
“Kami berharap pihak swasta akan menyediakan pelbagai acara menarik bagi menjadikan Pulau Pinang destinasi pilihan sepanjang tahun,” katanya pada sidang akhbar.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi The Top, Kelvin Koo berkata menara itu akan dihiasi dengan tema Halloween iaitu ‘Pekan Yang Menyeramkan’ sepanjang Oktober ini.
“Sekurang-kurangnya RM 100,000 dilaburkan untuk sambutan tersebut, termasuk dari segi hiasan, pameran dan menara utama pesta itu,” katanya.
Bayaran kemasukan adalah RM48 seorang, termasuk cenderahati, baucar makanan dan minuman, akses percuma ke karusel muzik, wabak zombie serta cabutan bertuah.