
Seorang lelaki mengambil pendekatan sendiri untuk menutup semua lubang di jalan raya dengan mengumpul pasir dan tanah dari kawasan berdekatan termasuk tapak pembinaan.
Dadarao Bilhore melakukan kerja itu secara sukarela di pusat bandar Mumbai yang tak pernah suram daripada kesibukan.
Selepas menutup lubang di jalan, dia memandang atas ke awangan dan berdoa. Doanya adalah supaya tiada lagi insan yang mati dalam kemalangan yang berpunca daripada lubang di jalanan seperti mana nasib yang menimpa anaknya.
Di Mumbai, ribuan orang terbunuh setiap tahun dalam kemalangan yang berpunca daripada lubang jalanan.
Anak Dadarao, Prakash Bilhore seorang remaja berusia 16 tahun juga meninggal dunia atas sebab yang sama.
Menurut satu laporan, ibu kota yang menjadi pusat kewangan dan Bollywood dengan populasi penduduk lebih 20 juta orang mempunyai lebih 27,000 lubang jalanan.
Sebagai menangani kesedihan pemergian anak dan mengelak kemalangan seperti itu berulang, Dadarao mengambil keputusan sendiri tanpa mengharapkan pihak berkuasa.
Buat masa ini, beliau sudah pun menutup lebih 600 lubang jalanan dengan sendiri sepanjang tempoh 3 tahun.
Penjual sayur berusia 48 tahun berkata, kemalangan anaknya berlaku ketika musim hujan, takungan air dan tahap pandangan yang lemah menyebabkan dia terbang ke udara sebaik motosikal yang diboncengnya melanggar lubang. Prakash mati kerana kecederaan di kepala.