
The Guardian melaporkan satu video yang dikatakan “menyinggung perasaan”, menunjukkan pasangan itu berkongsi makanan di meja dan bergurau sehingga mencetuskan kemarahan di media sosial di negara konservatif Islam itu.
Menerusi video yang tersebar di Twitter, wanita yang memakai niqab itu dilihat melambai kepada kamera. Lebih menimbulkan kemarahan adalah pada 30 saat terakhir video itu yang menunjukkan wanita terbabit menyuap lelaki tersebut.
“Kementerian buruh menahan pekerja asing itu di Jeddah selepas dia muncul dalam video yang menyinggung perasaan,” kata Kementerian Buruh dan Pembangunan Sosial Arab Saudi.
Pengasingan ketat antara lelaki dan wanita dikuatkuasakan di Arab Saudi, termasuk di tempat kerja dan kebanyakan restoran, di mana wanita dan lelaki yang tiada hubungan mahram mesti duduk berasingan.
Wanita juga tidak dibenarkan melakukan pelbagai aktiviti tanpa ditemani mahram.
Kementerian itu berkata pemilik hotel juga dipanggil kerana gagal mematuhi peraturan kerajaan yang menetapkan tempat kerja yang berasingan.