
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad ketika dihubungi mengesahkan laporan itu.
Beliau berkata, semua laporan polis itu dibuat secara berasingan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada 2 dan 3 September lalu.
“Berdasarkan laporan dibuat, kita mendapati pihak berkenaan menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap JAHEAIK, selain beberapa individu tersebut kesal dituduh pengikut Syiah.
“Bagaimanapun, kesemua laporan yang diterima, kita rujuk kepada JAHEAIK untuk apa-apa tindakan susulan selepas ini,” katanya.
Pada 30 Ogos lalu, JAHEAIK menyerbu sebuah premis dipercayai menjadi markas pengikut Syiah dan menahan 43 individu, termasuk kanak-kanak dalam satu operasi di Jalan Sri Cemerlang, di sini.
Serbuan bermula 10.30 malam itu dilakukan sepasukan kakitangan JAHEAIK yang disertai sepasukan anggota polis bagi mengawal keselamatan kakitangan agensi berkenaan.
Berdasarkan maklumat, sekumpulan lelaki dan wanita dikatakan sedang mengadakan satu upacara keagamaan yang meragukan dan bertentangan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.