
Beliau berkata Anwar menghubunginya semalam sebelum berlepas ke Hong Kong bagi memberi arahan untuk “mempersiapkan” kerusi berpotensi yang akan ditandingi presiden parti, yang dipilih itu dalam masa terdekat.
“Kerusi (berpotensi) itu asalnya 3, tapi sehingga semalam setelah di ‘zoom in’ jadi 2, dia telah hubungi saya untuk memberikan gambaran dan saya ada beberapa tugasan untuk disiapkan, mungkin waktu di Hong Kong nanti beliau akan buat keputusan satu daripada kerusi itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di sini hari ini.
Saifuddin, yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata, kerusi yang akan dipilih oleh Anwar adalah kerusi paling selamat berdasarkan kajian serta mengambil kira keputusan pada pilihan raya umum lepas.
“Kami sudah ambil kira semua termasuk keputusan pilihan raya umum lepas, peratus keluar mengundi, isu politik semasa yang berlegar serta isu dimainkan pembangkang yang belum keluar daripada tajuk politik perkauman, agama serta sengketa kaum,” katanya.
Saifuddin turut mengesahkan kerusi yang bakal ditandingi Anwar bukanlah kerusi di negeri di utara semenanjung seperti dilaporkan akhbar tempatan, yang beliau sifatkan sebagai spekulasi semata-mata.
Beliau meminta orang ramai tidak mudah mempercayai berita serta gosip bertebaran dan menegaskan apa-apa pengumuman mestilah datang daripada setiausaha agung sebagai sumber paling berhak dan mengikut undang-undang dalam sesebuah parti.
Mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin bahawa belum ada perbincangan di peringkat tertinggi mengenai pemilihan kerusi untuk Anwar, Saifuddin berkata Anwar sendiri membuat pengumuman terbuka bahawa beliau akan kembali ke Parlimen Oktober ini.
“Itu cara dia (Zuraida) menjawab dengan media, Anwar sendiri sudah sebut mengenai perkara itu, contohlah, perdana menteri sudah umum sesuatu tiba-tiba ada orang kata belum dibincang jemaah menteri, kalut namanya itu,” katanya.
Katanya, tidak menjadi isu juga sekiranya 3 beranak iaitu Anwar serta isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah Anwar berada di Parlimen kerana mereka dipilih sendiri oleh rakyat sebagai wakil melalui proses demokrasi.
Mengenai kenyataan calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli yang mendakwa Datuk Seri Azmin Ali pernah bertemu Anwar di Turki bagi meminta beliau agar tidak bertanding jawatan presiden, Saifudin berkata biarlah anggota parti sendiri menilai perkara itu.
Katanya, pemilihan parti yang dibuat 3 tahun sekali itu menjadi tumpuan kali ini berikutan ia pertama kali pemilihan dilakukan setelah pertama kali Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan dan kedudukan PKR sebagai parti terbesar dalam PH.
“Orang cemas tengok Rafizi lawan Azmin, tapi bagi kami anggota PKR kami tengok sebagai proses biasa sahaja, sebab dalam PKR ini menang atau kalah tetap akan ada tempat dalam parti, dalam keluarga PKR dan kami anggap ia sebagai peluang untuk memilih antara yang terbaik,” katanya.